Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!

Pontianak Dalam Muzik Video Mata(hari) Empty Page, Beri Makna Hilang Seseorang Atas Silap Sendiri

Amri Hassan
30/06/2024 19:29 MYT
Pembuka lembaran tahun 2024 dengan kehadiran ‘syg jgn mrh’ pada Februari menaikkan semangat kumpulan alternatif pop Empty Page untuk berkarya.

Tampil dengan single terbaru mereka yang berjudul “mata(hari)”, Empty Page mempersembahkan konsep unik dalam lirik yang puitis dengan landskap bunyi atmosfera.

Kata Zic selaku penulis lirik dan penyanyi Empty Page, lagu “mata(hari)” mengekspresikan pemahaman dan penerimaan terhadap perpisahan, diiringi dengan kerinduan yang mendalam yang dilambangkan dengan metafora matahari ("mata hari").

“Secara ringkasnya, "mata(hari)" bercerita tentang kehilangan seseorang atas kesilapan sendiri. Lagu ini mengisahkan mengenai kehadiran seseorang yang sangat baik dan menerangi hari-hari seperti 'matahari', tetapi kita sendiri tidak menghargainya dan terlalu selesa dalam kesedihan sendiri sehingga melakukan sabotaj diri,” kongsi Zic.

Muzik video bagi lagu ini idea dan arahan dari Zic sendiri dibantu oleh Rythshah sebagai pembantu pengarah.

“Dalam video muzik, pontianak yang ditunjukkan adalah metafora bagi situasi tersebut. Watak utama tahu bahawa dia tidak baik untuk gadis itu, jadi dia secara diam-diam melatih gadis tersebut supaya boleh melawan dan lari darinya. Ia adalah metafora untuk sabotaj diri,” jelas Zic lagi.

“mata(hari)” kini boleh didapati di kesemua pelantar digital utama, termasuk Spotify dan Apple Music bermula 24 JUN 2024, manakala video muzik “mata(hari)” boleh ditonton di saluran YouTube Empty Page bermula 9 JUN 2024.
#Lagu #Matahari #Pontianak #Empty Page
;