#PopcornTime: Adakah Eternals Filem Marvel Paling Hebat Pernah Dihasilkan? Ini Ulasannya!
25/10/2021 14:08 MYT
Tahun ini boleh dikatakan permulaan yang baik buat Marvels Studio.
Selepas kemunculan filem Black Widow dan Marvel Studios' Shang-Chi and The Legend of The Ten Rings, kini Eternals pula bakal menggegarkan panggung wayang tidak lama lagi.
Menerusi filem ini, teka teki mengenai siapakah Eternals, apakah peranan dan tujuan kewujudan mereka semua bakal terjawab!
Persoalannya, adakah filem ini mampu menjadi filem terbaik Marvel?
Gempak berkesempatan untuk menonton filem ini secara eksklusif dan berikut merupakan pandangan penulis tentang Eternals.
#1 Asal Usul & Susur Galur Eternals!
Satu perkara yang positif mengenai kebanyakan filem Marvel, ia tidak akan membuat penonton terbeban dengan jalan cerita yang kompleks.
Biarpun Eternal boleh dikatakan sebagai watak adiwira baru, namun sejarah kewujudan mereka diperjelaskan dengan ringkas, santai dan tidak berbelit-belit.
Secara mudahnya, Eternals dicipta oleh Celestials iaitu sebuah entiti kosmik yang berkuasa (atau mungkin paling berkuasa).
Eternals dicipta dengan satu tujuan iaitu menghapuskan makhluk yang dikenali sebagai Deviants.
Terdapat 10 adiwira dalam filem Eternals ini iaitu Sprite, Druig, Ajak, Sersi, Phastos, Gilgamesh, Kingo, Ikaris, Thena dan Makkari.
Pada 15 minit terawal, anda akan lihat bagaimana Eternals tiba di planet bumi dan hidup bersama manusia sejak 5,000 B.C lagi.
Senang kata, 'mereka dah lama ada, kita saja yang lalai'.
Ok berbalik pada pengenalan filem ini, setiap watak adiwira dalam Eternals mempunyai kuasa dan ciri khas mereka.
Namun, jika ditanya adakah kuasa mereka lebih hebat daripada Avengers sedia ada, itu anda kenalah nilainya sendiri.
#2 Letusan Pelakon Hebat! Gabungan Pengarah Bertaraf Oscars!
Melihat senarai pelakon Eternals saja sudah membuatkan ramai peminat sudah tidak senang duduk.
Kehadiran aktress Angelina Jolie dan Salma Hayek ternyata membuatkan filem ini nampak gah dan mahal.
Disebabkan itu juga, ramai berpendapat filem ini merupakan karya Marvel terhebat tahun ini.
Yup, tidak dinafikan gabungan pelakon-pelakon ini menjadikan filem ini sangat 'next level' dan ada kelasnya tersendiri.
Gaya mereka bercakap, bertarung, berjalan semuanya ada kelas.
Paling bagus, semua watak diberi ‘screen time’ yang hampir sama. Tiada istilah overshadow biarpun dengan kehadiran 'superstar' Angelina Jolie di situ.
Kemunculan Ma Dong Seok sebagai Gilgamesh pula membuatkan penulis tersenyum bangga. Ada wakil Korea dalam Eternals!
Pun begitu, dalam kesemua mereka, penulis berpendapat watak Druig mempunyai aura tersendiri.
Biarpun dilihat sebagai ‘underdog’ pada awalnya, namun aura dan kemampuan Druig sebenarnya sangat besar.
Selain itu, penulis juga merasakan Eternals adalah filem Marvel paling cantik pernah dihasilkan.
Jika anda tidak mengenali pengarahnya Chloe Zhao, dia adalah individu yang sama mengarahkan filem Nomadland yang berjaya merangkul anugerah Oscars April lalu.
Tidak dinafikan, ‘signature’ Chloe dalam menghasilkan sinematografi yang cantik turut terlihat di dalam Eternals.
Banyak babak yang cantik dan berseni dalam filem ini.
#3 Filem Terbaik Marvel?
Babak pertarungan dalam filem ini boleh dikatakan agak banyak dan padat.
Biarpun dihasilkan oleh pengarah bertaraf Oscars, namun penulis lega apabila tiada elemen ‘slow burn’ atau 'bermadah pujangga' hingga mengundang lena.
Secara jujurnya ‘pacing’ filem ini tidaklah terlalu perlahan atau laju. Just nice!
Aksi yang ‘dihidangkan’ dalam filem ini juga agak seronok untuk ditonton, mungkin kerana setiap watak dalam Eternals ini mempunyai kuasa mereka yang berbeza-beza.
Ada yang mampu menukarkan sesuatu objek kepada molekul yang lain, mampu menghasilkan ilusi dan tidak kurang juga mencipta senjata untuk bertarung. Sangat fun to watch!
Pertarungan antara deviants juga agak ‘intense’ apabila makhluk itu sangat susah untuk dihapuskan.
Malah, kemunculan Celestials pada beberapa babak juga mampu membuatkan anda ‘goosebumps’. Karakternya boleh dikatakan sebagai ‘tuhan’ dalam dunia Marvel Cinematic Universe (MCU).
Begitu juga pertarungan akhir apabila semua Eternals sudah mula tunjuk taring!
Jadi adakah filem ini mampu menandingi filem Marvel sebelumnya?
Pada pandangan penulis, filem ini tidaklah akan membuatkan anda terkesan hingga melupakan filem-filem Marvel hebat yang lain.
Walau bagaimanapun, filem ini masih mempunyai aura yang kuat dan sangat berlainan.
Pelakon kelas A, pengarah bertaraf Oscars, watak Eternals yang sangat ‘overpower’ semua itu menjadikan filem ini berada di kelas tersendiri.
Filem ini merupakan naskah pertama Marvel bercerita tentang Eternals, jadi ia boleh dikatakan berada di tahap bagus.
Pun begitu, ia mungkin boleh dihasilkan dengan lebih baik pada sequel akan datang.
Jika disoal tentang kekurangan, mungkin ada beberapa watak yang tidak ditonjolkan sepenuhnya kehebatan kuasa mereka. Seriously penulis tidak puas melihat mereka bertarung.
Atau mungkin penulis telah meletakkan harapan terlalu tinggi pada sesetengah watak.
Apapun Eternals sangat wajib ditonton terutama apabila Marvel kini sudah beralih kepada fasa empat.
Anda boleh tonton Eternals bermula 4 November ini.