Populariti Mula Melonjak Naik, Fadhli Masoot Bimbang Berdepan Situasi Sama Seperti Amir Ahnaf - “Sebab Kita Bukan Robot…”
Asyikin Mayudin
21/06/2023 02:45 MYT
21/06/2023 02:45 MYT
Nama pelakon baharu iaitu Fadhli Masoot mula melonjak naik semenjak membintangi drama siri popular Projek: High Council menerusi watak sebagai Hakeem.
Berkongsi mengenai situasi yang berlaku kepada rakannya iaitu aktor Amir Ahnaf yang didakwa sombong gara-gara mengelak dari bergambar dengan peminat, Fadhli mengakui dia juga berasa bimbang perkara itu berlaku kepadanya.
“Sejujurnya memang ada perasaan takut itu, cuma apa yang terjadi kepada Amir sebelum ini kita pun tak tahu situasi sebenar. Benda ini boleh terjadi pada sesiapa saja.
“Sebab kita bukan robot, kita manusia biasa. Tapi kalau boleh, saya pun tak nak dan takut apa yang terjadi kepada Amir itu berlaku kepada saya juga,” katanya kepada Gempak ketika ditemui di minggu keempat Mega Spontan 2023.
Sebelum ini kecoh apabilal Amir Ahnaf didakwa sudah tunjuk belang apabila enggan melayan peminat yang mahu bergambar dengannya.
ARTIKEL BERKAITAN: Amir Ahnaf Dituduh Sombong Tak Layan Peminat, Fans Club Dedah Situasi Sebenar - "Dia Buat Panggilan Video..."
Menerusi perkongsian di TikTok, seorang individu memuat naik satu kisah apabila permintaannya untuk bergambar bersama didakwa tidak dilayan oleh pelakon drama bersiri Projek: High Council tersebut.
Menurut individu tersebut, mereka bertemu dengan Amir di sebuah program nyanyian dan menunggunya sebanyak dua kali, namun kecewa tidak dilayan.
Bagaimanapun menerusi Insta Story di Instagram rasmi kelab peminat Amir bernama @kinger.fear menjelaskan Amir ketika itu dalam keadaan tidak sihat sekaligus memohon maaf bagi pihak pelakon itu.