ANTARABANGSA
Porsche Tawar Kerusi Bayi Dan Kanak-Kanak, Inspirasi Tali Pinggang Enam Poin
Porsche dikenali dengan penghasilan banyak kenderaan sport berprestasi untuk kegunaan individu mahupun keluarga, antaranya 911, Panamera dan Cayenne.
Biarpun begitu, firma automotif itu juga ada mempelbagaikan produk untuk memenuhi gaya hidup termasuk pakaian dan aksesori berkaitan. Lebih menarik, Porsche juga ada menghasilkan tempat duduk khas untuk kanak-kanak dan juga bayi.

Kali ini mereka muncul dengan rangkaian produk generasi baharu yang dinamakan Porsche Baby Seat dan Porsche Kid Seat.
Apa yang pasti, reka bentuknya ternyata menarik dengan padanan warna bersesuaian. Setiap tempat duduk khas itu mengambil inspirasi dengan enam poin tali pinggang keselamatan beserta logo di bahagian sisinya.

Pelapik dalaman kerusi kanak-kanak atau bayi boleh diselaras atau ditanggalkan keluar mengikut tumbesaran anak kecil. Antara pilihan warna menarik ditawarkan ialah hitam, biru muda atau liveri perlumbaan terkenal Gulf.
Tempat duduk ini dilaporkan patuh regulasi keselamatan baharu Kesatuan Eropah (EU). Ini merangkumi syarat buatan kerusi yang perlu mudah dipasang dalam kereta dan menawarkan pelindungan lebih baik untuk impak dari bahagian sisi (khususnya kepala dan leher).

Kini, kerusi yang ditawarkan ada saiz yang mengambil kira ketinggian dan berat seseorang kanak-kanak. Kerusi yang diposisi pandang ke belakang, Porsche Baby Seat sesuai untuk bayi yang memiliki ukuran panjang 40 sentimeter (sm) hingga 83 sm. Ia mempunyai pelapik dalaman untuk menjadikan bayi lebih selesa.
Sebagai satu opsyen tambahan, Porsche ada menawarkan satu Flex Base untuk dipasang pada poin sambungan ISOFIX kenderaan. Selepas dipasang, pemilik boleh meletakkan kerusi bayi di atasnya. Jika tiada alat ini, tiada masalah. Kerusi bayi masih boleh diikat menggunakan tali pinggang keledar.

Untuk Porsche Kid Seat pula, ia dipasang pada kedudukan sama seperti tempat duduk dalam kereta iaitu menghadap ke cermin depan. Kanak-kanak yang sesuai gunakan kerusi ini ialah mereka setinggi 76sm hingga 105sm. Seperti kerusi lain, sudut kedudukannya boleh diselaras ikut kesesuaian.
Pembelian belum dibuat secara online di gedung Porsche setakat ini tetapi ada opsyen kerusi berharga serendah AS$416.23 (RM1,680) (bayi) dan AS$557.53 (RM2,250) (kanak-kanak). Anda boleh lawan laman ini untuk maklumat lanjut: https://shop.porsche.com
