Filem bergenre aksi, komedi dan fantasi iaitu Hutang 2D mengunguli carta nombor 1 filem Astro First sejak dua hari lalu.

Hutang 2D berjaya menewaskan filem Mat Bond Malaya yang selama ini kekal di dalam carta sejak minggu lalu.

Ia pencapaian yang baik buat Hutang 2D kerana filem yang diterajui oleh ahli kumpulan Floor 88 itu baru sahaja mula ditayangkan sejak 5 Ogos lalu.

Filem segar dengan jalan cerita dekat di hati penonton iaitu Hutang itu menyaksikan kehebatan ahli Floor 88 iaitu Ayie Elham, Eric Fuzi, Akram K, Falique Ghazali, Zai Hamzah dan Amirul Afeeq dalam bidang lakonan.

Malah Hutang 2D turut dibintangi oleh pelakon hebat lain seperti Baby Shima, Black Hanafiah, Fauziah Datuk Ahmad Daud, Ropie, Altimet, Wafiy Ilhan dan Coki.

Bukan itu sahaja, malah anggota lain Floor 88 iaitu Eric Fuzi turut melebarkan bakatnya dalam pengarahan filem. Beliau bersama pengarah Irwan Rauf merupakan pengarah untuk Hutang 2D.

Hutang 2D mengisahkan tentang Ayie (Ayie Elham), seorang pelukis webtoon yang kuat berangan dan bersifat pengecut. Hubungan Ayie dan ayahnya, Pak Jie (Ropie) tidak mesra, bahkan bakat melukisnya juga sering dipandang rendah oleh Pak Jie. Itu membuatkan Ayie rasa sedih dan kurang keyakinan, termasuklah memendam rasa terhadap jirannya, Shima (Baby Shima).

Sementara itu, Pak Jie banyak berhutang dan sering diganggu oleh dua orang gangster, Han (Black) dan Kit (Wafiy Ilhan). Apabila Pak Jie diserang di rumahnya, Ayie terus menyembunyikan diri. Segalanya berubah apabila Ayie bertemu dengan Gua Mambang (Altimet) dan telah menghadiahkan sebuah ‘tablet’ ajaib.

Ayie mendapati setiap lukisannya di tablet itu akan menjadi kenyataan. Kemudian, Ayie mencipta rakan-rakan baru dengan mempunyai kuasa ‘superhero’ yang luar biasa agar dapat membantunya menyelesaikan masalah hidupnya.

Saksikan filem terbitan Arie Zaharie Production bersama Knack Knack Studios ini terus ke Pawagam Rumah Anda, Astro First, saluran 480 bermula 5 Ogos 2021.