VIRAL
Pramugari Dicabul Dalam ICU Di Hospital
Seorang pramugari, 46, yang dimasukkan ke Hospital Medanta, Gurugram pada 5 April mendakwa telah dicabul secara seksual ketika dalam keadaan separa sedar di unit rawatan rapi (ICU).
Menerusi aduan yang difailkan minggu lepas, 24 jam selepas dia memberitahu suaminya tentang dakwaan serangan seksual itu, wanita tersebut berkata, dia tidak berdaya menahan tindakan penyerang berkenaan kerana keadaannya yang lemah ketika itu.
"Terdapat dua jururawat di dalam bilik sama, tetapi mereka tidak campur tangan," menurut laporan polis rasmi (FIR).
Pihak hospital mengeluarkan kenyataan pada15 April lalu mengakui dakwaan tersebut telah dibuat dan mereka memberikan kerjasama penuh terhadap siasatan yang dijalankan oleh pihak berkuasa berkaitan.
Hospital berkenaan menyatakan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) dan fail perubatan wanita itu telah diserahkan kepada pihak polis.
Menurut aduan berkenaan, wanita tersebut pada awalnya dimasukkan ke sebuah hospital yang lebih kecil selepas dia hampir lemas di kolam renang ketika menjalani latihan.
Wanita berkenaan dipindahkan ke Medanta pada 5 April, di mana dia dilaporkan menjalani rawatan kecemasan, termasuk menggunakan ventilator, selama lebih seminggu.
Dakwaan serangan itu berlaku pada 6 April lalu. Dia dibenarkan keluar seminggu kemudian, pada 13 April, dan memfailkan aduannya pada 14 April.
Penolong Sub Polis Gurugram, Inspektor Sandeep mengesahkan bahawa satu kes telah difailkan di Balai Polis Sadarpur dan siasatan sedang dijalankan.