Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!

Premier League Dan Astro Bekerjasama Perangi Cetak Rompak Digital Di Malaysia

Gempak
28/10/2024 04:36 MYT
Dengan bermulanya musim Liga Perdana Inggeris 2024/25, Premier League bekerjasama dengan rakan penyiar tempatan, Astro Malaysia Holdings, untuk terus mendidik pengguna perihal bahaya kandungan cetak rompak dalam usaha untuk membanteras jenayah penstriman haram di Malaysia.

Kempen ‘Boot Out Piracy’ kali ini menampilkan bintang bola sepak ternama seperti Alisson Becker (Liverpool FC), Alejandro Garnacho (Manchester United), Jean-Philippe Mateta (Crystal Palace), Hwang Hee-chan (Wolves), dan Bukayo Saka (Arsenal).

Menerusi beberapa video yang disiarkan di platform digital, pemain-pemain ini menyampaikan mesej kepada peminat bola sepak Malaysia mengenai risiko serius menonton kandungan Liga Perdana Inggeris menerusi saluran tidak sah. Kempen ini didahului satu kajian oleh pakar keselamatan siber, Professor Paul Watters yang membuktikan bahawa wujudnya bahaya dalam penstriman haram.

Penjenayah siber sering mengeksploitasi laman web penstriman haram, mendedahkan pengguna kepada risiko kecurian identiti dan penipuan melalui penggodaman pelayar, perisian hasad (malware), dan iklan berbahaya. Salah satu kebimbangan utama ialah jumlah iklan berisiko tinggi, di mana lebih daripada 78% iklan di laman penstriman haram diklasifikasikan sebagai berbahaya.

Iklan-iklan ini sering mendorong pengguna ke laman perisian hasad atau laman scam, sekaligus meningkatkan lagi risiko keselamatan terhadap pengguna. Dapatan kajian juga menunjukkan bahawa 36% laman cetak rompak berpotensi mendedahkan pengguna kepada virus atau skim pancingan data (phishing).

Ketua Penasihat Undang-Undang Premier League, Kevin Plumb, berkata:“Kami tahu betapa bersemangatnya peminat bola sepak di Malaysia dan seluruh Asia yang sanggup bersengkang mata demi menyaksikan perlawanan Liga Perdana Inggeris. Namun, kami juga menyedari bahaya menonton menerusi penstriman haram. Kami ingin peminat menikmati aksi Liga Perdana Inggeris dalam kualiti terbaik dan dengan selamat menerusi saluran yang sahih.

“Selain menyampaikan mesej penting, kami juga mahu memperkukuhkan kerjasama dengan pihak berkuasa Malaysia dan rakan kongsi kami, Astro, bagi mengambil tindakan tegas terhadap cetak rompak digital. Ini termasuk kerjasama dalam mengenal pasti serta membanteras sindiket cetak rompak digital dan menangani pengedaran peranti penstriman haram.”

Beliau menambah, “Kami menggalakkan peminat untuk melindungi keselamatan dalam talian dan menikmati perlawanan Liga Perdana Inggeris menerusi platform sah, yang menawarkan pengalaman tontonan terbaik.” Profesor Paul Watters pula menegaskan:

“Hasil kajian ini seharusnya membuka mata pengguna di Malaysia. Mengakses laman cetak rompak dan penstriman haram bukan sahaja menyalahi undang-undang, tetapi juga mendedahkan mereka kepada risiko serangan siber dan kerugian kewangan. Kami menyeru orang ramai agar menggunakan platform sahih demi keselamatan digital mereka. Kempen ‘Boot Out Piracy’ ini membantu dalam menyedarkan peminat di Malaysia tentang bahaya ini.”

Sebagai penyiar eksklusif Liga Perdana Inggeris musim 2024/25 di Malaysia, Astro turut memainkan peranan penting dalam kempen ‘Boot Out Piracy’. Pengarah Kawal-Selia dan Hal Ehwal Korporat Astro, Rita Irina Abd Wahab, berkata: “Cetak rompak mencuri nadi kehidupan industri disamping mendedahkan pengguna kepada risiko tanpa mereka sedari.

Di Astro, kami mengambil langkah tegas melalui tindakan dan kerjasama, termasuk bersama pihak berkuasa dan Premier League, untuk membanteras penstriman haram demi melindungi penonton kami. Kempen ‘Boot Out Piracy’ ini bukan sekadar kempen kesedaran, tetapi satu usaha untuk mengubah tabiat, membina kepercayaan, dan memastikan peminat dapat menikmati kandungan dengan cara yang sah, selamat, dan berkualiti.”

Pada Ogos lalu, Thaqwa (Malaysia) Sdn Bhd, sebuah rangkaian restoran, telah bersetuju membayar RM221,773.20 kepada anak syarikat Astro kerana menyiarkan kandungan Astro secara haram di beberapa premis mereka. Penyelesaian ini adalah sebahagian daripada usaha Astro untuk melindungi hak harta intelek dan membanteras penggunaan kandungan tanpa kebenaran.

Beberapa kes cetak rompak lain juga telah diambil tindakan undang-undang, termasuk:

• Seorang lelaki berusia 22 tahun di Ipoh didenda RM10,000 kerana menjual kotak Android dengan kandungan Astro.

• Dua lelaki di Seremban juga menghadapi tuduhan serupa. Seorang daripadanya mengaku tidak bersalah dan dibebaskan dengan ikat jamin RM7,000, manakala seorang lagi mengaku bersalah dan didenda RM10,000. Kempen ‘Boot Out Piracy’ ini akan dipaparkan di saluran penyiaran dan platform media sosial di Thailand, Indonesia, Singapura, Malaysia, Hong Kong, dan Vietnam dalam beberapa bulan akan datang.

Pelancaran Kempen Boot Out Piracy x BizOne Watch Party Pada 26 Oktober, Astro secara rasmi melancarkan kempen ‘Boot Out Piracy’ di Malaysia dalam acara BizOne Watch Party, bertempat di sebuah restoran nasi kandar terkenal di Kuala Lumpur, bersempena perlawanan Liga Perdana Inggeris antara Manchester City dan Southampton.

Acara ini mengumpulkan 250 peminat bola sepak, pegawai penguatkuasa undang-undang dari Jabatan Siasatan Jenayah Komersial, Polis Diraja Malaysia, serta tetamu khas, termasuk Ahli Parlimen Wangsa Maju, YB Tuan Ts. Zahir bin Hassan dan Ahli Dewan Undangan Negeri Lembah Jaya, YB Syed Ahmad Syed Abdul Rahman Al-Haddad yang menerajui kempen anticetak rompak digital #LayanOriJanganCuri.

Selain daripada meraikan sukan bola sepak, pelancaran ini turut menekankan isu kritikal perihal cetak rompak digital, para hadirin turut terlibat dalam perbincangan tentang risiko tersembunyi penstriman haram, termasuk ancaman keselamatan siber dan kewangan yang sering tidak disedari pengguna.

Dengan kehadiran pihak penguatkuasa undang-undang dan pihak berkuasa tempatan, acara ini menekankan kepentingan usaha bersama dalam memerangi cetak rompak digital demi melindungi ekosistem industry hiburan.

Melalui inisiatif ini, Astro menegaskan komitmennya untuk melindungi hak harta intelek, mendidik orang ramai, dan memastikan penonton menikmati kandungan sukan bertaraf dunia dengan selamat melalui platform yang sah.

#Astro #Premier League #Cetak Rompak Digital
;