Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!

Presiden Ukraine, Volodymyr Zelenskyy Dinobat Person of the Year 2022

Maliah Surip
07/12/2022 17:08 MYT
Pergolakan dan peperangan yang terjadi di antara Rusia dan Ukraine sejak Februari lalu telah membuat kedua dua nama pemimpin negara tersebut iaitu Vladimir Putin (Rusia) dan Volodymyr Zelenskyy mendunia.

Lantaran itu tidak hairan apabila Volodymyr Zelenskyy, Presiden Ukraine berusia 44 tahun tersebut dinobatkan sebagai Person of the Year 2022 versi majalah Time.

Anugerah tahunan dari majalah Amerika Syarikat itu diberikan oleh pihak editor kepada individu yang disifatkan memberi impak cukup besar sepanjang 12 bulan ini.

Time juga menyatakan Person of the Year adalah individu yang menjadi liputan dalam kehidupan sama ada baik atau buruk.

Zelenskyy menjadi buah mulut dunia selepas Rusia menyerang Ukraine dan diri bersama keluarganya menolak untuk diasingkan ke lokasi lebih selamat, sebaliknya memilih tetap dengan rakyat di Kyiv bersama pasukan tentera.

Figura yang lahir pada tahun 1978 itu mengatakan dia tidak takut kepada sesiapa atau akan bersembunyi pada saat negara memerlukan dirinya.

Ironi, sebelum menjadi presiden, Zelenskyy pernah dikenali sebagai seorang pelakon dan komedian. Dia mengejutkan lawannya dalam piliharaya pada tahun 2019 apabila menang dengan 73 peratus, mengalahkan lawannya, Petro Poroshenko.

Kepada Time, Zelenskyy mengatakan: “Saya belum habis berjuang dan melakukan yang terbaik untuk negara saya. Belum lagi.”

Selain Zelenskyy, terdapat beberapa nama tokoh dunia turut tercalon. Mereka termasuklah Presiden China, Xi Jinping, politikus AS, Liz Cheney serta hartawan,
MacKenzie Scott.

Elon Musk, CEO Telsa dan SpaceX yang kini memiliki Twitter dinobatkan dengan anugerah sama pada tahun lalu.

#time #Ukraine #Person Of The Year #Volodymyr Zelenskyy
;