Drama siri adaptasi daripada drama popular Amerika Syarikat, Pretty Little Liars bakal menemui penonton Astro buat pertama kalinya di kaca televisyen!

Versi asal drama siri ini telah mendominasi 38 kemenangan sepanjang 7 tahun berturut-turut di Teen Choice Awards.

Manakala, versi Indonesia juga mempunyai daya tarikan tersendiri, di mana jalan cerita 10 episod itu sendiri mampu membuat penonton untuk terus setia mengikut setiap babak yang penuh misteri dan memberi pelbagai tanda tanya.

Malah, tema yang diangkat menerusi elemen persahabatan, female empowerment dan siber buli juga dilihat amat relevan buat masyarakat Malaysia.

Menurut Naib Presiden, Ketua Astro Shaw & Nusantara, Raja Jastina Raja Arshad berkata dia yakin Pretty Little Liars mampu memberi kepuasan yang berbeza kepada penonton setanding dengan versi asal.

“Selepas menampilkan drama terbaik dari Singapura, kali ini kami membawakan konten adaptasi terbaik dari Indonesia pula untuk tontonan penonton Astro Citra.

"Jika sebelum ini, drama tersebut hanya ditayangkan menerusi platform strim, tetapi kali ini pihak Astro membawakan secara eksklusif terus ke kaca televisyen untuk tontonan buat seisi keluarga. Kami percaya Pretty Little Liars adalah sebuah drama siri yang mampu menawarkan pengalaman dan kepuasan berbeza kepada penonton.

"Tambah pula jenama Pretty Little Liars sememangnya sudah kukuh apabila versi asal drama siri tersebut telah ditayangkan selama 7 tahun di Amerika Syarikat dan berjaya meraih jumlah tonton yang tinggi serta menjadi salah satu drama pilihan utama di sana.

"Manakala, versi adaptasinya juga tidak kurang hebatnya apabila berjaya merangkul pelbagai anugerah berprestij. Jadi kami harap drama ini turut mampu mencipta kejayaan tersendiri di sini," katanya.

Naratif drama ini juga diperkukuhkan lagi dengan sentuhan kreatif oleh pengarah hebat Indonesia, Emil Heradi, yang juga merupakan pengarah untuk filem Night Bus yang telah memenangi anugerah Filem Terbaik, Anugerah Citra 2017 di Indonesia; selain sebagai penolong pengarah untuk filem pecah
panggung Indonesia, Habibie & Ainun serta penolong pengarah (unit kedua) untuk filem Hollywood, Eat Pray Love.

Bagi setiap watak pula dibintangi oleh barisan pelakon popular Indonesia serta bakat anak seni tanah air iaitu Eyka Farhana selaku teraju utama dalam membawakan watak sebagai Emma.

Antara barisan pelakon lain adalah Anya Geraldine, Yuki Kato, Valerie Thomas, Shindy Huang, Wulan Guritno (juri Maharaja Lawak Mega 2012), Naufal Samudra (Jailangkung 2), Jennifer Coppen (Habibie & Ainun 3), Giulio Perangkuan (Dilan 1990 & Dilan 1991), Tegar Satrya (The Raid 2: Berandal), Tarra Budiman (Di Bawah Lindungan Ka'bah), Cindy Nirmala (Warkop DKI Reborn: Jangkrik Boss! Part 2), Irgi Fahrezi (Mariposa) dan ramai lagi.

Pretty Little Liars mengisahkan tentang 5 sahabat baik, Aria, Emma, Hanna, Sabrina dan Alissa yang merupakan gadis paling popular di Universiti Amerta. Pada malam graduasi, mereka berpesta di rumah Sabrina. Tetapi ketika mereka bangun, mereka dapati Alissa telah hilang.

Setahun kemudian, kehidupan Aria, Hanna, Sabrina dan Emma diganggu dengan mesej ugutan yang menyalahkan mereka tentang satu rahsia yang hanya diketahui oleh Alissa. Pengirim mesej-mesej itu menggelarkan dirinya 'A'. Mereka yakin bahawa si 'A’ adalah Alissa yang telah hilang setahun lalu dan cuba mengusik mereka berempat.

Namun, tekaan mereka terus menjadi tanda tanya apabila mayat Alissa ditemui di halaman belakang vila miliknya. Persoalannya, siapakah yang membunuh Alissa? Dan jika Alissa telah mati, siapakah 'A'?

Saksikan drama siri Pretty Little Liars di Astro Citra, saluran 108 (HD) atau 128 (SD), bermula 5 Julai, setiap hari Isnin, jam 9 malam. Anda juga boleh strim di Astro Go atau On Demand.