Marvel Cinematic Universe sudah bersedia untuk menayangkan Avengers: Endgame dan seperti biasa produksi berkenaan akan mencari wajah baharu untuk projek akan datang.

Selepas Brie Larson terbabit untuk filem Captain Marvel, khabar angin mengatakan aktres jelita Bollywood, Priyanka Chopra mungkin bakal disunting untuk menjadi adiwira baharu Marvel!

Hal ini bertambah kukuh apabila pengarah terkenal Joe Russo memberikan bayangan telah mengadakan sesi diskusi bersama Priyanka ketika sesi promosi Avengers: Endgame di Mumbai, India baru-baru ini.

"Saya teringin untuk bekerjasama dengan Priyanka. Senyuman saya ini kerana kami mungkin sedang berbincang sesuatu yang menarik. Cuma buat masa sekarang kena rahsiakan dahulu," katanya memetik laporan Hindustan Times.

Joe tidak memberikan sebarang bayang mengenai filem Marvel akan datang dan tidak mustahil juga pengarah itu akan bekerjasama dengan Priyanka untuk filem selain daripada Marvel.

Priyanka, pemenang Miss World 2000 itu merupakan aktres yang mendapat bayaran termahal di India dan telah mengembangkan kerjayanya di Hollywood menerusi siri popular Quantico sejak 2015.

Baywatch (2017) dan Isn't It Romantic (2019) antara filem Hollywood yang turut melonjakkan namanya.

Sumber: Aceshowbiz