PRN: Azwan Ali Jadi Pengundi Terawal, Sanggup Bangun 4.30 Pagi - "Bukan Darah Daging Jadi Percaturan"
Gempak
12/08/2023 03:50 MYT
12/08/2023 03:50 MYT
Selebriti sensasi Azwan Ali atau lebih dikenali sebagai Diva AA menjadi antara pengundi terawal selesai menjalankan tanggungjawab di Pusat Mengundi Sekolah Kebangsaan Klang Gate, Hulu Kelang pada pagi Sabtu.
Azwan berkata, dia bangun seawal pukul 4.30 pagi dan tiba pada 7 pagi di pusat mengundi selepas bertolak dari Semenyih bagi menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi di Dewan Undangan Negeri (DUN) Hulu Kelang.
Azwan yang juga adik calon DUN Hulu Kelang, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali itu memberitahu, pada awalnya, dia enggan keluar mengundi kerana sudah muak dengan situasi politik negara.
“Tapi pagi tadi saya rasa rugi kalau tidak mengundi, dan sebab itu saya datang dari Semenyih dan saya terkejut melihat semua rakan media.
“Saya dah tak nak mengundi, kalau tanya kenapa, tak kuasa ya. Tapi saya terdetik untuk datang sebab saya rasa rugi pula satu undi kerana ia bernilai.
“Ia terlalu berharga, soal menang atau kalah calon yang kita undi itu, bukan isu,” katanya ketika ditemui.
BACA SINI: PRU15: “Kau Akan Kalah Dek Non” - Ramalan Diva AA Benar Belaka, Azmin Ali Kalah Di Gombak
Dalam pada itu, pelakon siri drama terbaharu Astro Gempak Original, B.A.R.I.S.T.A : Misi Terpaling Sulit ini menyifatkan saingan di kerusi DUN Hulu Kelang sebagai sengit.
“Saya undi siapa? Jawapan saya senang, bukan darah daging jadi percaturan… kita undi adik-beradik? Tidak.
“Isunya ialah kita nak pilih pemimpin yang berkaliber,” tambahnya.
Kerusi DUN Hulu Kelang menyaksikan saingan satu lawan satu antara Mohamed Azmin yang juga bekas Menteri Besar Selangor dari Perikatan Nasional (PN) dengan dengan ‘anak didiknya', Juwairiya Zulkifli mewakili Pakatan Harapan (PH).