Produksi Culas Buat Bayaran Kru & Pelakon, Kerajaan Sekat Tayangan Dua Filem
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil memaklumkan sebanyak dua filem tempatan yang menerima insentif Dana Kandungan Kreatif (DKK), telah disekat selepas gagal membuat pembayaran kepada kru dan pelakon.
"Kita dapati ada sekurang-kurangnya dua filem, saya tak akan namakan filem-filem ini, tapi mereka tahu siapa mereka.
"Dua filem yang didapati tidak membayar kru walaupun penerbit sudah menerima Dana Kandungan Kreatif (DKK), jadi sudah siap dibayar tetapi pekerja tidak menerima bayaran gaji,
"Kita maklumkan kepada mereka, langsaikan hutang dan lunaskan bayaran. Kemudiannya, barulah akan benarkan mereka memohon, terutama dalam skim wajib tayang," katanya pada sidang media selepas merasmikan Hari Seniman 2025 di Hotel Grand Barakah Ampang pada Sabtu.
Selain itu, Fahmi juga sudah mengarahkan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) untuk meneliti syarat permohonan dana dan Sijil Perakuan Penggambaran (SPP) berhubung isu tersebut.
Fahmi hadir merasmikan sambutan Hari Seniman 2025 bertemakan 'Seni Merentasi Budaya dan Generasi' anjuran FINAS.
Hari Seniman disambut pada 22 Mac setiap tahun bertujuan menghargai dan menghormati jasa dan sumbangan penggiat industri seni.
Seramai 20 penggiat industri juga menerima sumbangan wang tunai untuk persiapan menyambut Aidilfitri.