Pelakon Amerul Affendi meluahkan rasa kesal terhadap produksi tempatan yang telah menggugurkan namanya disebabkan perubahan syarat yang terlalu banyak dalam kontrak.

Dedah Amerul, selain ditertawakan oleh pengurus produksi terbabit, dia turut digugurkan dan diganti dengan pelakon lain.

"Bila kau ditertawakan oleh pengurus produksi kerana banyak sangat term yang nak diubah dalam kontrak.

"Dan kemudian tahu-tahu dah ditukar dengan pelakon lain tanpa ada sekor pun bagitau. Tengoklah tahap professionalnya industri ni..

"Nasib baik dah jadikan lakonan ni hobi sahaja," ciapnya.

Amerul dalam masa sama turut berkongsi paparan skrin perbualannya bersama wakil produksi terbabit yang memaklumkan kontraknya masih diproses ekoran terlalu banyak syarat. Turut disertakan emoji ketawa.

Dalam perbualan sama, Amerul menjelaskan dia perlu meneliti kontrak terbabit supaya tidak timbul sebarang isu pada masa akan datang.

Berdepan situasi kurang menyenangkan itu, dedah Amerul dia pernah diperli pengurus produksi sama sebelum ini sebagai pelakon yang demand.

"Dan ini kali ketiga berurusan dengan pengurus produksi ni... Ingat lagi bagaimana dia menganjing waktu di lokasi kata 'wah bukan main ko ye sekarang demand betul' sambil kawan-kawan dia ketawa terkekek-kekek.

"Lepas pada projek tu tahu-tahu nama dah dijaja ke merata tempat kata demand melampau.

"Demand-kah kalau menuntut hak yang sepatutnya.. demand-kah kalau masih buka untuk berunding bagi mendapat persetujuan yang baik kedua-dua belah pihak?" tambahnya.

Keluh Amerul lagi, biarpun industri tempang disebabkan wabak COVID-19, sikap dan pemikiran sama masih dibawa oleh penggiat industri hingga kini.

"Ingatkan bila dah terduduk dek kerana pandemik dulu akan berubahlah pemikiran dan perangai bila sudah boleh bekerja kembali.

"Rupanya masih sama.. berbuih mulut penggiat-penggiat industri bermuzakarah itu ini di serata platform media sosial untuk menjadikan industri ini kembali sihat selepas pandemik.

"Tapi kenyataannya masih sama dengan modus operandi yang sama.Sampai bila mahu begini?" luah Amerul lagi.

Sebelum ini, Amerul yang aktif menjalankan perniagaan ikan patin sangkar pernah meluahkan rasa kecewa terhadap sikap pilih kasih produksi tempatan yang hanya mengambil pelakon yang punyai jumlah pengikut 500,000 di media sosial.

BACA: "500,000 Followers Baru Produksi Ambil Berlakon" - Amerul Affendi Kecewa Kerana ...

BACA: "Reject Dia? Perkara Paling Bodoh Pengarah Lakukan" - Netizen Back Up, Ajak Follow IG Amerul Affendi

BACA: Filem Prebet Sapu Lakonan Amerul Affendi, Mei Fen Lim Dihantar Bertanding Di Oscars 2022

***Untuk kemaskini berita terkini, cepat & mudah, langgan saluran Telegram Gempak!
Dah mengundi artis kegemaran korang di AME 2021? Klik banner di bawah untuk mengundi!