Berita
Produksi Malaysia Lamar Christine Hakim Berlakon Drama Bersiri Buat Pertama Kali
Akres terkenal Indonesia, Christine Hakim buat pertama kalinya bakal membintangi drama bersiri terbaru terbitan Astro berjudul, Sepanggal Puisi.
Pelakon senior itu antara 12 artis dari negara jiran itu yang dipilih berlakon dengan 8 artis tempatan di sini termasuk Erma Fatima dan Lisa Surihani.
Produser Eksekutif, Arie Zaharie Productions Sdn Bhd, Arie Zaharie berkata, penggambaran drama bersiri sebanyak 8 episod ini akan dijalankan pada 3 Ogos depan membabitkan lokasi di dua negara terbabit.
"Ia mengisahkan konflik dua keluarga iaitu keluarga di Indonesia yang berkahwin dengan keluarga di Malaysia. Bagaimanapun, ia bukan megadrama biasa yang pernah ditonton sebelum ini," katanya kepada Astro Gempak.
Ujarnya, pembabitan pelakon dari dua negara ini menjadi strategi penting dalam menembusi pasaran dua negara sepertimana drama bersiri, Dosa terbitannya bersama Astro yang mendapat sambutan positif daripada penonton.
"Seperti Dosa, respon daripada 'subscribe' memang lebih daripada apa yang dijangka iaitu 30,000 menjadi 50,000.
"Malah, komen penonton juga menyatakan Dosa menjadi drama yang lain daripada yang lain yang tidak ada di Malaysia sehingga ia juga boleh diterima di Indonesia," katanya.
Tambahnya, plot cerita cinta yang dianggap tipikal membabitkan dua negara sedikit sebanyak menyentuh konflik untuk menampakkan klimaks sesuatu cerita tapi ia tidak menggambarkan pergolakan hidup dari segi harta.
"Cerita kali ini lebih mengungkap sikap peribadi dalam keluarga seperti antara anak yang tidak menghormati ibu bapa," katanya.
Dalam pada itu, Arie memberitahu sekuel, Dosa 2 dijangka menjalani penggambaran selepas Aidilfitri tahun depan.
"Karya kita apa-apa genre sebenarnya boleh dijual di pasaran luar tapi ia bergantung pada cerita seperti Sepanggal Puisi ini tidak jadi tanpa Christine Hakim," katanya.
Teks oleh: Elrafaei Sapi
Foto: kompas & beritagar
Must-Watch Video