Raikan Wira Wonda Kita! Kongsikan kisah inspirasi wira anda & menangi wang tunai RM10,000

Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) Dimansuhkan Serta-Merta

Rozaimi Zubaidi
13/08/2018 06:49 MYT
Mesyuarat Kabinet memutuskan untuk memansuhkan Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) dan Biro Tatanegara (BTN) serta-merta.

Kakitangan tetap dan kontrak akan diserap ke dalam Kementerian Belia dan Sukan (KBS).

Pengumuman itu dibuat oleh Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman sebentar tadi.

Keputusan Kabinet pada minggu lalu itu turut menetapkan supaya satu modul dirangka bagi menggantikan kedua program itu.

Jelasnya, perbincangan dengan pihak berkepentingan termasuk Khazanah Nasional Berhad akan diadakan dalam masa terdekat dalam usaha merangka modul tersebut.

“Memandangkan program ini melibatkan kolaborasi merentas kementerian dan agensi, KBS akan mengadakan perbincangan dengan pihak berkepentingan seperti Jabatan Perdana Menteri (JPM), Kementerian Pembangunan Wanita Keluarga dan Masyarakat (KPWKM), Kementerian Pertahanan (MINDEF) dan Kementerian Pendidikan (KPM).

“Perbincangan turut melibatkan persatuan belia untuk memperhalusi mekanisme pelaksanaan agar program ini dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan,” katanya pada sidang media di Parlimen hari ini.

Bagaimanapun, beliau tidak dapat menetapkan sebarang tempoh bilakah modul baharu tersebut akan dimuktamadkan.

Mengulas berkenaan nasib kakitangan bagi kedua-dua program itu, Syed Saddiq berkata kakitangan tetap dan kontrak akan diserap ke dalam kementeriannya.

Namun, katanya angka spesifik berkenaan jumlah kakitangan yang akan diserap akan diumumkan kemudian.

Sumber: Astro Awani
#PLKN #Program Latihan Khidmat Negara