Hiburan
Projector Band Dedah Cipta Lagu ‘Sudah Ku Tahu’ Di Sebelah Bilik Mayat
Pemenang tempat ketiga Anugerah Juara Lagu 31 (AJL 31), Projector Band mendedahkan lagu hit mereka, Sudah Ku Tahu dicipta di sebelah bilik mayat.
Pencipta lagu tersebut, Razif Zainuddin, 25, yang juga merupakan gitaris Projector Band mencipta lagu tersebut ketika berkhidmat di Hospital Kuala Kubu Bharu.
“Saya berkhidmat sebagai pengawal keselamatan di hospital tersebut bermula pada tahun 2011 sehingga tahun 2013. Lagu tersebut saya cipta di sebelah bilik mayat, ketika saya masih bertugas di sana.
“Lagu itu berdasarkan pengalaman cinta monyet saya yang berlangsung selama lima tahun. Namun begitu, sekarang saya sudah move on dan hubungan saya bersama bekas kekasih pun baik-baik sahaja.
“Alhamdulillah, lagu tersebut ternyata mempunyai tuah tersendiri dan berjaya mendapat tempat di AJL 31. Saya bersama ahli kumpulan Projector Band yang lain bersyukur dengan pencapaian ini,” kata Razif kepada Astro Gempak.
Turut dianggotai oleh Iskandar Zulkarnain Shafin, 24, selaku vokalis; Muhammad Safiq Zainuddin, 23, (dram); Isnaidi Eidham Razali, 22, (gitar) dan Ahmad Khusairi Shaferi, 27, (basis), Projector Band juga mahu terus menghasilkan lagu-lagu berkualiti agar tidak terpalit dengan gelaran one hit wonder.
“Walaupun sebelum ini ada orang memandang rendah dengan kemampuan kami, selepas menang tempat ketiga AJL 31, kami masih tidak boleh menutup mulut orang. Sama ada menang atau tidak, orang masih akan terus bercakap.
“Apa yang kami boleh lakukan adalah untuk terus berusaha. Kami akan memastikan kami muncul dengan produk-produk berkualiti selepas ini. Kami tidak mahu jadi kumpulan muzik yang hanya terkenal dengan sebuah lagu sahaja.
“Single kedua kami, Pasti Ada Kamu sudah diputarkan di corong radio. Alhamdulillah, lagu tersebut juga kini semakin mendapat perhatian,” kata Razif lagi mengakhiri perbualan.
Teks oleh: Kamaruddin Razal
Must-Watch Video