Pengarah Projek: Anchor SPM menafikan drama bersiri premium terbaru itu diinspirasikan daripada karya Thailand, Bad Genius.

Menurut Razaisyam Rashid, drama Astro Originals itu 100 peratus berbeza dan ia bukanlah daripada kisah benar.

“Sebaliknya ia lebih kepada tindakan menipu secara rawak oleh pelajar sekolah menengah selama ini.

“Malah, drama ini berlatar belakang tahun 2003 ketika pelajar masih tiada akses kepada internet.

“Lagipun, isu pelajar meniru ketika peperiksaan berlaku di seluruh dunia,” katanya.

Sementara itu, seorang lagi pengarah iaitu Anwari Ashraf menjelaskan genre Projek: Anchor SPM dengan Bad Genius juga berbeza.

“Saya dengan selesa boleh menjawab Projek: Anchor SPM tidak meniru Bad Genius sama sekali.

“Bagi saya perbezaan terbesar Projek: Anchor SPM dengan Bad Genius adalah genre. Bad Genius lebih kepada thriller dan heist punya filem manakala kita genre young adult atau 'coming-of-age' dan lebih kepada semangat ukhwah, persahabatan, mencari erti hidup dan sebagainya.

"Jadi apabila genre berbeza maka ceritanya pun berbeza.

“Yes memang akan ada babak lebih kurang tapi ye lah bila dah jawab exam, masuk dewan peperiksaan.

“Saya yakin kalau penonton yang berkata demikian tapi memberi peluang menonton Projek: Anchor SPM, mereka akan susah nak samakan dua karya ini,” katanya.

Untuk rekod, Projek: Anchor SPM mengisahkan tentang sekumpulan pelajar tingkatan lima di Sekolah Tengku Isa Anuar (STIA) di Cameron Highlands, yang merupakan sebuah sekolah berasrama penuh berprestij.

Isu mula tercetus apabila Aizat lakonan Aedy Ashraf terdesak cuba mencari jalan mendapatkan keputusan 8A dalam peperiksaan percubaan SPPM.

Aizat akhirnya berjaya bersekongkol dengan Aaidaa (Daiyan Trisha), dan menghasilkan sebuah pelan untuk membantu rakan- rakan seluruh tingkatan mereka cemerlang SPM melalui strategi meniru besar-besaran.

Drama ini turut dilakonkan oleh Nadhir Nasar (Hilmi), Chubb-E (Botol), Shasha Abedul (Jaja) serta nama-nama besar dalam industri seni tempatan seperti Adlin Aman Ramlie, Hasnul Rahmat Tony Eusoff dan Susan Lankester.

Apapun, saksikan ‘Projek: Anchor SPM akan ditayangkan di saluran Astro Citra pada jam 9.00 malam, bermula 15 Mac ini.

Untuk pilihan alternatif, penonton juga boleh strim di platform Astro GO atau On Demand. Ikuti info dan klip-klip menarik menerusi akaun Instagram, Facebook, Twitter Astro Gempak dan Astro Shaw.