Projek: High Council Dedah Kisah Masalah Buli & Diskriminasi Di Asrama! Inspirasi Daripada Peristiwa Sebenar
Selepas kejayaan drama One Cent Thief dan Kudeta, Astro Originals terus mengorak langkah menerusi sebuah drama siri premium terbaru iaitu High Council.
Menariknya, drama premium 10 episod itu mempersembahkah sebuah kisah fiksyen yang diinspirasikan daripada kisah benar yang pernah terjadi di Malaysia yang mana negara digemparkan dengan isu kumpulan gangster High Council di sebuah sekolah berasrama penuh.
Masalah kalangan pelajar asrama
Naib Presiden, Perniagaan Melayu Nusantara dan Ketua Astro Shaw, Raja Jastina Raja Arshad yang juga merangkap sebagai Penerbit Eksekutif berkata High Council bakal membawa penonton menyelami permasalahan dalam kalangan remaja yang tinggal di asrama.
“Kali ini Astro membawakan High Council yang mengetengahkan isu yang pernah menggemparkan negara iaitu kemunculan kumpulan gengsterism di kalangan pelajar sekolah berasrama penuh.
“Naskhah ini membawa penonton menyelami permasalahan dalam kalangan remaja. Sorotan itu bukan sahaja daripada sisi luaran tetapi juga daripada sudut emosi dalaman remaja yang berdepan dengan kepincangan sistem kekeluargaan, konflik serta isu seperti buli, psikologi dan pengaruh rakan sebaya di sekolah,” katanya.
Raja Jastina berkata demikian ketika ditemui pada majlis tayangan perdana episod pertama drama tersebut yang berlangsung di Dadi Cinema, Kuala Lumpur pada Selasa.
Jalan cerita menjadi seorang ‘lelaki’
Sementara itu, Pengarah dan Show Runner Projek: High Council, Anwari Ashraf, berkata drama tersebut berbeza dengan drama Projek: Ancho SPM yang pernah diarahkannya sebelum ini.
Ini kerana, High Council lebih menekankan jalan cerita yang lebih kasar dan matang tentang kehidupan pelajar di sebuah asrama selain memahami erti sebenar di sebalik menjadi seorang lelaki sejati.
"Tiada lagi yang mampu saya karangkan untuk watak-watak Anchor SPM, tanpa menzalimi perkembangan watak-watak mereka di penghujung siri tersebut buat masa ini.
“Namun, ini tidak bermakna saya dan team kehabisan kisah-kisah pendewasaan. Jadi, saya memutuskan untuk meneruskan antologi 'Projek' adalah menerusi sekolah-sekolah fiksional, watak-watak, dan tema-tema yang baharu.
“Kali ini, watak-watak 'Projek: High Council' bakal menempuh rintangan-rintangan yang lebih 'kasar' di Kolej Ungku Deramat (KUDRAT), dalam usaha mereka untuk mendalami, erti sebenar di sebalik menjadi seorang 'lelaki',” katanya.
Barisan pelakon hebat dan fresh
High Council membariskan para pelakon baharu yang berbakat serta berpengalaman daripada pelbagai latar termasuk Nadhir Nasar, Mierul Aiman, Amir Ahnaf, Naim Daniel, Yusof Hashim, Daiyan Trisha, Sazzy Falak, Ben Tan, Sathisvaran M Magesvaran, Kahoe Hon, Fadhli Masoot, Fazziq Muqris, Ameer Asyraf, Muzayyin Mahyuddin, Hazeeq Dean, Aida Aris, Azhar Sulaiman dan Edika Yusof.
Sinopsis
Demi niat untuk berubah pada usia 15 tahun, Fakhri iaitu seorang pelajar yang bijak tetapi sering terlibat dalam pergaduhan, telah diterima untuk memasuki sebuah sekolah asrama berprestij tinggi. Namun, apabila Fakhri merungkai rahsia di sebalik tradisi sekolah tersebut, secara tidak langsung telah menjadikan dia sasaran utama pelajar-pelajar yang ingin memanjat heiraki High Council.
Nekad untuk menghentikan segala ketidakadilan dan salah guna kuasa yang berlaku di kalangan pelajar, Fakhri memasuki gelanggang ‘plihanraya’, pertandingan yang dilangsungkan secara sulit untuk menentukan ‘kepala’ di sekolah tersebut. Walaupun dia tahu pilihannya itu bakal berhadapan dengan sesuatu yang terlalu sukar buatnya, berjayakah Fahkri merebut takhta menjadi ‘kepala’? Apakah yang kesukaran yang bakal dia depani demi mencapai matlamatnya?
Saksikan High Council secara strim di Astro On Demand pada 14 Januari atau boleh juga di Astro GO dan saluran linear, Astro Ria saluran 104 bermula 23 Januari, setiap Isnin, jam 9.00 malam. Ikuti info dan klip-klip menarik menerusi akaun Instagram, TikTok, Facebook, Twitter Astro Gempak dan Astro Shaw.