Layan Gempak Non-Stop Live hari ini selama 12 jam! Kumpul kata kunci & menang hadiah menarik di sini
Laman Utama

Projek Rumah Bangsa Johor Hanya Untuk Yang Layak Sahaja - Sultan Ibrahim

Syafiqah Jalal 24/03/2017 | 09:25 MYT
Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar telah melancarkan Projek Rumah Impian Bangsa Johor (RIBJ) dan projek tersebut merupakan hadiah daripada baginda untuk rakyat Johor.
Sultan Ibrahim Sultan Iskandar turut berkata, projek itu bakal dijayakan menerusi Yayasan Sultan Ibrahim (YSI) dengan kerjasama Johor Corporation (JCorp) dan Bank Rakyat.
Baginda turut menegaskan bahawa rumah tersebut hanya akan diberikan kepada rakyat yang menepati kriteria yang telah ditetapkan dan benar-benar layak sahaja.
“Saya telah melancarkan satu projek perumahan yang istimewa bertujuan membantu golongan kurang berkemampuan memiliki kediaman, namun begitu hanya yang betul-betul layak akan ditawarkan.
“Oleh itu, jangan melobi saya untuk dapat rumah tersebut. Saya akan pastikan projek ini berjaya demi memberi peluang kepada bangsa Johor yang kurang berkemampuan untuk memiliki sebuah rumah yang selesa. Inilah hadiah daripada saya untuk membantu rakyat Johor yang betul-betul susah,” tegas baginda ketika majlis perasmian projek perumahan itu.
Fasa pertama yang akan dibina adalah di Bandar Dato’ Onn dan melibatkan sebanyak 500 unit rumah teres, rumah berkembar dan banglo yang dilengkapi kemudahan seperti pendingin hawa, mesin basuh, peti sejuk dan perabot asas.
Harga Projek RIBJ ini adalah serendah RM100,000 dengan pembayaran deposit hanya sebanyak RM1 manakala pembiayaan penuh disediakan oleh Bank Rakyat kepada pemohon yang layak.
Sumber : Astro Awani, Utusan Online, Bernama
Olahan : Izzat Ridzwan
Kredit foto : The Coverage
#Sultan Johor #Semasa
;