Laman Utama
Proksi Filem Pertama Gandingan Allahyarham Ashraf Sinclair & Bront Palarae, Cerita Tentang ...
Filem terbaru, Proksi yang mempersembahkan gandingan pelakon mantap Bront Palarae, Allahyarham Ashraf Sinclair, Remy Ishak, Sangeeta Krishnasamy, Datuk Rosyam Nor, Faizal Hussein, Siti Saleha, Susan Lankester dan Adriana Qasmania akan menjengah pawagam di rumah anda menerusi Astro First, saluran 480 bermula 18 November ini.
Apa yang menarik tentang filem ini, anda dapat menyaksikan sisi berbeza para pelakon menerusi watak masing-masing.
Sangeeta Krishnasamy mempertaruhkan kehebatannya buat pertama kali dalam membawa watak penuh aksi dan Remy Ishak membawa watak antagonis.
Advertisement
Manakala, ini merupakan kemunculan kali pertama Bront Palarae dan Allahyarham Ashraf Sinclair yang menggerakkan babak ‘bromance’.
Bukan itu sahaja, Proksi juga mengembalikan gandingan popular dalam filem popular Gila-Gila Remaja dan KL Menjerit dalam satu layar iaitu Datuk Rosyam Nor bersama Faizal Hussein.
Bagi naratifnya pula, ia bakal membawa penonton menyelami dunia ‘hacker’ atau penggodam. Proksi menumpukan isu yang sememangnya berlaku di luar sana iaitu serangan penggodam atau 'cyber crime' melalui berita palsu.
Kemudian jalan ceritanya diperhebatkan lagi dengan adegan aksi yang mampu membuat penonton tidak senang duduk.
Selain itu, filem terbitan produksi FEG Equipment telah menjalani sesi penggambaran di Malaysia dan Thailand. Latar lokasi menarik di kedua-dua buah negara turut menjadi salah satu kekuatan filem tersebut di samping jalan cerita segar dan lakonan meninggalkan kesan.
Menurut penerbit yang merangkap pengarah Proksi, Mohd Shaufe A. Wahib, filem tersebut pada mulanya menyasarkan tayangan di pawagam, namun dengan mengambil kira situasi semasa, Astro First adalah satu platform terbaik.
"Filem ini pada awalnya dirancang untuk ditayangkan di pawagam, namun dalam keadaan sekarang ini serta mengambil kira faktor lain, kami percaya platform Astro First adalah saluran terbaik untuk kami tampilkan filem ini kepada penonton sasaran.
"Sementara itu, tajuk filem Proksi dipilih kerana ianya berkait rapat dengan karakter utama Sam dan Aman, lakonan Bront Palarae dan Allahyarham Ashraf Sinclair. Filem ini amat istimewa bagi kami kerana ia menggabungkan tenaga-tenaga kreatif dan berpengalaman dalam industri perfileman tanah air. Saya harap, filem Proksi dapat memberi kepuasan berbeza kepada penonton dan merancakkan lagi industri filem tanah air," katanya.
Dalam pada itu, Naib Presiden Perniagaan Melayu Nusantara & Ketua Astro Shaw, Raja Jastina Raja Arshad berkata, dengan kehadiran filem-filem baru di Astro First, penonton Malaysia boleh menonton secara terus di rumah dan menerusi penstriman di Astro Go.
“Pengalaman menonton adalah unik bagi setiap individu, dan dengan kehadiran filem-filem terbaru di Astro First, penonton Malaysia berpeluang menikmati filem terbaik tempatan secara terus di rumah mereka atau di mana-mana dengan strim di Astro Go.
"Bagi meneruskan usaha dan memastikan variasi kandungan untuk pilihan penonton, kali ini Astro First membawakan filem Proksi, di mana ia mengangkat kisah tentang 'cyber crime' dan genre ‘cyber thriller’ jarang dipersembahkan menerusi filem tanah air.
"Kami harap, Astro First akan sentiasa dilihat sebagai platform pilihan yang mampu membuka laluan buat penerbit-penerbit filem Malaysia dalam mempersembahkan naskhah mereka dengan sokongan pemasaran oleh Astro kepada penonton dengan lebih dekat," kata beliau.
Proksi mengisahkan tentang penggodam elit Sam (Bront Palarae) bersama rakannya, Aman (Allahyarham Ashraf Sinclair) yang telah melarikan diri ke Bangkok. Tanpa pengetahuan Sam, Aman menggodam ‘platform keselamatan data’ yang dikenali sebagai MYSOIL dan bekerjasama dengan Elle (Sangeeta Krishnasamy) untuk menjual data tersebut kepada kumpulan penjenayah yang dikenali sebagai CARRIE di Bangkok.
Dalam masa yang sama, Aman mencuri wang CARRIE. Seorang tentera upahan bernama Aqil (Remy Ishak) cuba mengesan dan mendapatkan kembali wang tersebut. Sam pula telah ditangkap dan disoal siasat oleh dua penyiasat, Roy (Faizal Hussein) dan Remy (Datuk Rosyam Nor). Sam berusaha mencari dalang sebenar di sebalik manipulasi data dan penyebaran berita palsu yang mampu membahayakan negara.
Jangan lupa saksikan filem 'cyber thriller' padat dengan aksi, Proksi yang akan berada di Pawagam Rumah Anda, Astro First bermula 18 November 2021. Untuk melanggan sila ke saluran 480 atau anda juga boleh strim di Astro Go atau On Demand. Dengan hanya RM15, anda boleh menonton selama 48 jam (2 hari) secara berulang-ulang.
Ikuti info dan klip-klip menarik tentang filem ini menerusi akaun Instagram, Facebook, Twitter Astro Shaw.
Dapatkan kemaskini berita terkini, cepat & mudah, langgan saluran Telegram Gempak!
Dah undi artis kegemaran di AME2021? Klik banner di bawah untuk mengundi.
Must-Watch Video