Hiburan
Prosiding Perceraian Bersama Diana Danielle Diteruskan, Farid Kamil Hadir Ke Mahkamah Dengan Penuh Senyuman - “Hari Ini Hari Yang Terbaik”
Pelakon Diana Danielle tiba di perkarangan Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Perseketuan, Kuala Lumpur sekitar pukul 9.30 pagi, Isnin bagi sebutan pertama permohonan perceraian terhadap suaminya, aktor Farid Kamil.
Peguam yang mewakili Diana iaitu Datuk Akberdin Abdul Kadir berkata keputusan pada hari ini bergantung pada reaksi pihak defenda iaitu Farid Kamil.
“Hari ini diteruskan dengan pemohonan cerai, jadi kita akan tunggu reaksi daripada defenda (Farid) sama ada dia bersetuju atau tidak,” katanya kepada Gempak.
Ketika ditanya apa tindakan seterusnya sekiranya Farid tidak bersetuju untuk melafazkan cerai, Akberdin memberitahu segala proses akan mengikut prosedur selanjutnya.
“Kita akan ikut proses selanjutnya… JKP dan Hakam, jadi kita tunggu dulu,” ujarnya.
Dalam pada itu, Diana enggan mengulas lebih lanjut mengenai proses cerai namun meluahkan rasa syukur dirinya dalam keadaan baik.
“Tak ada harapan apa-apa. Alhamdulillah (sihat),” katanya.
Sementara itu, Farid yang hadir pada pukul 9.45 pagi menganggap hari ini merupakan hari terbaik buat dirinya.
“Alhamdulillah, saya bersyukur sangat hari ini merupakan hari yang paling terbaik,” ujarnya.
Pada 20 November lalu, peguam mewakili Diana Danielle iaitu Datuk Akberdin Abdul Kadir memaklumkan mahkamah mengesahkan status aktres itu dan aktor Farid Kamil masih suami isteri setelah kembali rujuk pada 31 Ogos tahun lalu.
Akberdin berkata perakuan rujuk perlu diambil di Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan dan dokumen itu perlu dibawa ke Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan untuk permohonan perceraian.
Pada 10 Mac tahun lalu, Diana pernah memfailkan permohonan cerai di Mahkamah Rendah Syariah Petaling, Subang Bestari.
Farid dan Diana kemudiannya sah bercerai talak satu menerusi Google Meet pada 10 Ogos tahun lalu namun kembali rujuk sebulan kemudian.
Pasangan itu mendirikan rumah tangga pada 3 November 2012 dan dikurniakan dua cahaya mata iaitu Muhammad, 11, dan Nur Aurora, 9.