Ahli Parlimen Bera, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob tidak menandatangani surat akuan (SD) untuk menyatakan sokongan terhadap Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Tan Sri Muhyiddin Yassin atau Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk membentuk kerajaan Persekutuan.

Sumber yang rapat dengan Naib Presiden UMNO itu berkata, Perdana Menteri berpendapat adalah lebih baik Barisan Nasional (BN) berada di Dewan Rakyat sebagai pembangkang.

"Dalam tangkap layar perbualan yang tular semalam, ia menunjukkan Datuk Seri tidak mahu menyertai mana-mana gabungan, sama ada PN atau Pakatan Harapan (PH)," katanya ketika dihubungi Berita Harian.

Sebelum ini, difahamkan nama Perdana Menteri tidak termasuk dalam senarai 20 Ahli Parlimen BN yang menandatangani SD untuk menyokong Muhyiddin.

Terdahulu, 30 Ahli Parlimen BN dikatakan hampir mencapai kata sepakat untuk tidak menamakan mana-mana pemimpin daripada PH atau PN sebagai calon Perdana Menteri.

Mereka sebaliknya bersetuju mempersembah cadangan kepada Yang di-Pertuan Agong hari ini supaya fungsi kerajaan sementara yang sedang berjalan, diteruskan dalam satu tempoh tertentu sehingga sebuah kerajaan baharu dibentuk kelak.

Sumber parti itu memaklumkan, semua Ahli Parlimen BN dijadual menandatangani SD pagi ini bagi menzahirkan cadangan itu untuk dipersembah kepada Agong sebelum jam 2 petang ini.

Saingan untuk menjadi Perdana Menteri Ke-10 terarah kepada Anwar dan Muhyiddin. Pada PRU15, PH memperoleh 82 kerusi Parlimen, manakala PN pula mendapat 73 kerusi.

Untuk menubuhkan kerajaan, sesebuah parti atau gabungan parti perlu mendapat majoriti mudah sokongan 112 Ahli Parlimen daripada 222 kerusi di Dewan Rakyat.

Sumber – Berita Harian