Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan melanjutkan tempoh pencalonan bakal Perdana Menteri Malaysia ke-10 sehingga pukul 2 petang esok (Selasa, 22 November).

Titah perkenan Seri Paduka Baginda itu susulan permohonan daripada ketua parti-parti politik dan gabungan parti-parti politik yang telah diterima oleh pihak Istana Negara hari ini.

Menurut Datuk Pengelola Bijaya Diraja, Datuk Seri Ahmad Fadil Shamsuddin, Seri Paduka Baginda menyeru dan menasihati seluruh rakyat bersabar dan bertenang sehingga proses pembentukan kerajaan baharu dan pencalonan bakal Perdana Menteri Malaysia ke-10 selesai.

"Seri Paduka Baginda turut mengingatkan bahawa pentadbiran negara masih berjalan seperti biasa di bawah pengurusan Perdana Menteri Sementara atau ‘Caretaker Prime Minister’ berdasarkan prinsip-prinsip yang digariskan bagi Kerajaan Sementara (Caretaker Government)," katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan pada Isnin.

Sumber - Astro Awani

Undi bintang digital dan content kegemaran anda di dalam carta mingguan Gempak Most Wanted 2022 di sini. Anda juga boleh membuat pencalonan baharu untuk carta mingguan seterusnya. Selamat mengundi!