BERITA

PTTI Taja RM100,000 Kepada Parlimen Muar, Syed Saddiq Salur Bantuan Pendidikan Kepada Pelajar Kurang Mampu

Amri Hassan 04/06/2025 | 18:57 MYT
Dalam usaha memperkukuh akses pendidikan kepada pelajar dari keluarga berpendapatan rendah, Pusat Tuisyen PTTI telah menyerahkan sumbangan tajaan bernilai RM100,000 kepada Parlimen Muar, Johor.
Tajaan itu diterima oleh Ahli Parlimennya, YB Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dalam satu majlis yang berlangsung meriah di IDCC Shah Alam.
Tajaan khas ini akan dimanfaatkan sepenuhnya untuk membantu pelajar-pelajar kurang berkemampuan di kawasan Muar, khususnya mereka yang sedang membuat persediaan menghadapi peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
Antara bentuk bantuan yang akan disalurkan termasuklah akses ke kelas tuisyen dalam talian kendalian PTTI serta pelbagai kemudahan pembelajaran lain.
Syed Saddiq menyifatkan tajaan ini sebagai pelaburan penting untuk masa depan anak-anak Malaysia.

"Saya kena ucapkan terima kasih tidak terhingga kepada Cikgu Farhana dan pasukan PTTI atas sumbangan yang sangat besar. Pendidikan memang merupakan keutamaan anak-anak kita dan bukan semua ada kesempatan atau kemampuan untuk mendapat akses kepada kelas tuisyen yang berkualiti. PTTI sendiri telah membuktikan rekod prestasi yang sangat baik, malah antara terbaik dalam mendidik anak-anak untuk mencapai keputusan cemerlang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada majlis Roadtour Skor A+ SPM PTTI yang menghimpunkan hampir 4,000 calon SPM dari seluruh negara.
Program khas ini direka untuk menyuntik semangat dan motivasi dalam kalangan pelajar melalui sesi bimbingan intensif secara bersemuka oleh tenaga pengajar terbaik PTTI.
Menariknya, daripada jumlah keseluruhan tajaan itu, sebanyak RM20,000 yang disalurkan secara langsung kepada Syed Saddiq akan disumbangkan semula dalam bentuk komputer riba dan tablet kepada para pelajar yang memerlukan.
Sumbangan itu akan diserahkan sebelum sambutan Hari Raya Aidiladha, menjadikan jumlah keseluruhan bantuan bernilai RM120,000.
“Saya berdoa agar PTTI terus dapat mengangkat kualiti dan martabat pendidikan negara tercinta kita,” tambah beliau.
Inisiatif ini bukan sahaja memberikan peluang pendidikan kepada pelajar yang kurang bernasib baik, malah membuktikan bagaimana pendidikan mampu menjadi alat pemutus kepada kitaran kemiskinan.
Syed Saddiq turut menekankan kepentingan usaha kolaboratif antara sektor swasta dan pemimpin masyarakat dalam mengurangkan jurang akses pendidikan, terutama di kawasan luar bandar.
“Bukan semua ibu bapa mampu menghantar anak ke kelas tuisyen fizikal, lebih-lebih lagi jika tinggal di kawasan pedalaman seperti Sungai Balang yang jauh dari pusat bandar. Inisiatif pendidikan dalam talian dan bantuan seperti ini amat penting untuk anak-anak kita ‘catch up’ dan mengurangkan jurang pendidikan,” katanya lagi.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif PTTI, Siti Farhana Abu Osman atau lebih dikenali sebagai Cikgu Farhana, turut mengulas komitmen PTTI dalam mendekati pelajar yang memerlukan.
“Pengalaman kami lebih 10 tahun memimpin PTTI membolehkan kami membantu lebih 800,000 pelajar, termasuk 400 pelajar yang berjaya mendapat straight A pada SPM 2024 yang lalu.
“Kami percaya dengan teknik dan formula PTTI, lebih ramai pelajar dapat dibantu untuk cemerlang, terutamanya dalam subjek Sains Tulen seperti Matematik, Fizik dan Kimia yang kita tahu amat mencabar,” katanya.
Acara Roadtour Skor A+ itu turut diserikan dengan kehadiran selebriti dan tokoh inspirasi, antaranya Bella Astillah yang tampil memberikan kata-kata semangat kepada para pelajar, bersama Syed Saddiq sendiri. Antara personaliti terkenal lain yang turut hadir ialah MK K-Clique, Iman Troye, Zaki Yamani, Nabila Razali, Space Dollah, Asyraf Khalid dan ramai lagi.
Usaha berterusan PTTI dalam menyokong sistem pendidikan negara menerusi pendekatan holistik, inklusif dan berpaksikan teknologi membuktikan bahawa setiap anak Malaysia, tanpa mengira latar belakang, berhak mendapat peluang untuk cemerlang.
#Bella Astillah #Syed Saddiq #Sumbangan #Pelajar #Muar #PTTI