Hiburan
PU Abu Didakwa Bercerai: "Tiada Rumah Tangga Yang Nak Pengakhiran Sebegitu" - Bekas Isteri Mohon Doa Yang Baik-Baik
Bekas isteri Pencetus Ummah (PU) Abu Sufyan, Ain ‘Afini Latif memohon doa yang baik-baik untuk bekas suaminya.
Ain juga mendedahkan dirinya tidak mengetahui status terkini perkahwinan PU Abu dengan isterinya, Hana Azraa yang didakwa sedang berantakan.
Ain menjawab soalan Norman Hakim dan Erra Fazira yang bertindak selaku pengacara program Mingguan Wanita yang bersiaran langsung pada jam 11 pagi tadi.
"Bercerai dengan pasangan baru? Saya pun tak tahu sahih atau tidak. Tapi kita doa yang baik-baik. Tiada rumah tangga yang nak pengakhiran sebegitu," katanya.
Bakal tamat tempoh berpantang, Ain sendiri tidak pasti dengan keadaan PU Abu sekarang.
"Keadaan PU Abu sekarang? Saya tak pasti. Tapi, Insya-Allah, saya rasa dia okay. Apa yang dah jadi sekarang, saya rasa dia lebih kuat menempuhi setiap dugaan yang datang.
"Saya belum habis pantang, lagi beberapa hari baru habis. Bekas pasangan saya sering menziarah anak, dia tahu tanggungjawab dia," jawab Ain menerusi panggilan telefon.
Ain dihubungi oleh program Mingguan Wanita yang membincangkan mengenai topik 'Curang - Cinta Atau Suka Suka?'.
Sepatutnya, PU Abu hadir menjadi panel untuk membincangkan topik berkenaan namun penceramah bebas itu tidak dapat menghadirkan diri di saat akhir.
Sejak dua hari lalu, media sosial kecoh membicarakan mengenai isteri PU Abu yang mendedahkan mengenai status perkahwinan mereka kini ibarat telur di hujung tanduk.
Jelas Hana, mereka kini proses untuk bercerai dan sudah tidak lagi tinggal sebumbung namun PU Abu pula enggan mengulas mengenai status perkahwinannya bersama Hana dan menegaskan mereka masih suami isteri.
Dalam pada itu, ketika ditanya oleh pengacara mengenai peluang kedua, ibu tunggal kepada cahaya mata lelaki bernama Muhammad Adam Aysar ini mempunyai jawapan tersendiri.
"Peluang kedua? Pada pendapat saya, kita mengenali pasangan kita lebih daripada orang lain. Jadi, orang luar boleh bagi macam-macam pendapat, hakikatnya, dalam rumah tangga, kita sendiri tahu bagaimana keadaannya.
"Pada saya sendiri, kalau yakin seseorrang itu boleh berubah, Insya-Allah tak ada masalah pun. Ia berdasarkan pandangan masing-masing. Semua orang boleh berubah, tak ada orang yang tak boleh berubah," katanya.
Program Mingguan Wanita dengan wajah baru sudah mula bersiaran sejak 8 Julai 2019, setiap hari Isnin hingga Jumaat pukul 11 pagi di saluran Astro Prima (105) dan Prima HD (121).
Selain Erra dan Norman, rancangan itu turut dihoskan oleh Siti Elizad, Radin, Sherry Alhadad dan pakar motivasi secara bergilir-gilir.