Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!

PU Abu Sufyan & Isteri Pertama Sah Bercerai

Amri Hassan
16/05/2019 08:48 MYT
Mahkamah Rendah Syariah Klang mengesahkan talak dilafazkan pendakwah muda program realiti Pencetus Ummah (PU) Abu Sufyan terhadap isterinya, Ain 'Afini Latif menerusi aplikasi WhatsApp Mac lalu adalah sah.

Perkara itu berlaku berikutan lelaki itu mengemukakan penambahan fakta kepada mahkamah, petang semalam.

Berdasarkan fakta penambahan tersebut, Abu Sufyan atau nama sebenarnya Mohamad Abu Sufyan Mohd Mokhtar Rozaidi, 23, mengaku kepada rakannya bahawa dia dan Ain 'Afini telah bercerai.

Sehubungan itu, mengambil kira pengakuan dan siasatan lanjut, Hakim Syarie, Mohd Nuruazhar Tohar memutuskan talak dilafazkan itu sah dan berlaku penceraian antara mereka.

Ain 'Afini, 21, yang kini mengandung tujuh bulan diperintah menjalani tempoh idah sehingga bersalin.

Terdahulu, mahkamah yang sama memutuskan talak Abu Sufyan adalah tidak sah selepas menerima sumpah bahawa lelaki itu tidak pernah berniat menceraikan isterinya.

Abu Sufyan bernikah dengan Ain 'Afini pada 31 Ogos 2018 dan dijangka menyambut kelahirannya pertama pada 10 Julai depan.

Talak kali ini adalah talak kedua berikutan penceraian kali pertama telah berlaku diantara mereka pada 28 Januari lalu.

Bagaimanapun pasangan itu rujuk semula pada 23 Februari.

Sebelum ini, Ain 'Afini menerusi laman sosialnya mendedahkan dia telah diceraikan Abu Sufyan selepas lelaki itu memilih untuk bernikah dengan seorang janda bernama Hana Azraa.

Pada 22 April lalu, Abu Sufyan menerusi ruangan komen akaun instagramnya mengakui kesilapannya menceraikan isteri yang sedang hamil.

Sumber: Sinar Harian
#cerai #Ain 'Afini #PU Abu Sufyan
;