Pendakwah bebas, PU Syed mempersoalkan motif penganjuran sebuah festival yang melibatkan acara bergelek di atas pentas.

Menerusi hantaran di Instagram, PU Syed mempersoalkan gaya gelek Ifa Raziah dan Kak KM yang dianggap secara terang-terangan melanggar syarak.



“Acara gelek pula yang dipersembahkan kepada pengunjung. Betapa seronoknya mereka bergelek di hadapan bukan mahram, dengan gaya yang benar-benar melanggari syarak.

“Di mana sifat malu pihak penganjur dengan membenarkan penghibur, untuk menghiburkan pengunjung dengan acara tarian sebegitu?

“Di mana dicampak sifat malu kalian berdua bila bersuka ria menunjukkan tarian sebegitu? Apakah kalian seronok memberi contoh yang negatif kepada masyarakat? Tak takut dosa?,” katanya di Instagram.

Dalam pada itu, PU Syed berkata, disebabkan itu sesuatu penganjuran konsert atau persembahan boleh menjadi haram apabila ada unsur-unsur haram diterapkan di dalamnya.

“Jangan pula marah apabila konsert-konsert dibantah penganjurannya dek kerana ada segelintir penghibur yang langgar semua batasan agama. Bagaimana pula status rezeki yang terbit dari usaha yang haram?

“Pihak PBT, pihak berkuasa agama Negeri Melaka ada pantau atau mempunyai maklumat tentang ini? Tepuk dada tanya iman,” katanya lagi.