"Puas Dapat Jaga Abah" - Ieda Moin Dedah Tak Pernah Simpan Rahsia Walau Cerita 'Hitam' Dengan Arwah Ayah

ZULHILMI JALIL
Oktober 21, 2020 09:20 MYT
Pelakon Ieda Moin yang kematian bapanya Abdul Moin Abdul Ghani, 68, semalam mengakui tidak pernah timbul perasaan ralat dengan pemergian arwah ayahnya.
Hal ini kerana, menurut Ieda, dia sekeluarga berasa puas apabila dapat berbakti kepada bapanya yang sakit dengan menjaganya ketika hayatnya masih ada.
"Kami sekeluarga reda sangat dengan pemergian abah sebab puas dapat jaga abah, tak ada ralat.
"Cuma kasihan pada adik saya seorang yang berada di Perth, Australia tak dapat balik. Hanya tengok abah menerusi panggilan video sahaja," katanya ketika dihubungi Astro Gempak.
Semalam, bapa Ieda meninggal dunia di Hospital Kuala Lumpur pada pukul 7.22 pagi akibat jangkitan kuman dalam darah dan paru-paru.
Begitupun, menurut Ieda, dia sempat berada di sisi arwah ketika menghembuskan nafas terakhirnya.
"Kami tak dibenarkan datang sepanjang hari Abah ada di hospital sampailah hari abah dah kritikal.
"Doktor panggil untuk teman sebab abah hanya tinggal beberapa jam sahaja sebelum meninggal," katanya.
Ujarnya lagi, dia juga tidak dapat mengiringi arwah bapanya ke tanah perkuburan.
"Hanya 20 orang sahaja. Semua yang pergi lelaki. Covid-19 ni susah sedikit yang lain hanya buat panggilan video," ceritanya.
Sementara itu dalam satu posting di Instagram, Ieda turut mengakui dia merupakan seorang 'anak abah'.
"Tiada satu pun rahsia hidupku daripada yang hitam sampai putih yang abah tak tahu. Semua aku kongsikan pada abah yang abah bawa sampai ke hujung nyawa. Terima kasih Abah," coretnya.
#Ieda Moin #Rahsia #Abah