Hiburan
“Puas Saya Kejutkan Suami, Dia Tidak Bangun-Bangun” - Isteri Roslan Saleh
“Puas saya kejutkan suami, dia tidak bangun-bangun dan saya rasa nadi tak berdenyut dan nafasnya pun tak ada.”
Itu kata Zainon Majid, 61, isteri kepada pelakon veteran, Roslan Salleh, 69, yang meninggal dunia di rumahnya di Kampung Rantau Panjang, Masjid Tanah dekat sini kira-kira pukul 7.00 pagi tadi.
Zainon berkata, ketika cuba mengejutkan suaminya dari tidur untuk bersarapan, arwah langsung tidak memberi sebarang reaksi.
“Saya terus kejutkan anak dan cucu yang kebetulan ada di rumah cuti sekolah dan saya reda pemergian suami saya,” ujarnya.
Katanya, perubahan pada suaminya berlaku sejak tiga hari lalu apabila matanya terbuka seolah-olah memandang sesuatu.
Menurutnya, sejak semalam arwah mengalami demam hingga menyebabkan dia tidak lalu makan sewaktu bersarapan roti canai kari kambing.
“Suami hanya sempat jamah dua dan tiga suap dan lepas itu dia diam tak cakap apa-apa,” ujarnya.
Katanya, jenazah dibawa ke Masjid Ar Rahman Kampung Rantau Panjang dekat sini untuk dimandikan dan dikafankan sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Rantau Panjang selepas solat Jumaat.
Sumber: Kosmo