Hiburan
"Puasa Bukan Kerana Untuk Kurus, Tapi..." - Marsha Milan
Selebriti serba boleh, Marsha Milan bersyukur kerana diberikan kesempatan untuk menyambut bulan Ramadan yang mulia.
Memeluk agama Islam semenjak penghujung tahun 2015, Ramadan ini merupakan Ramadan yang ketiga buat penyanyi yang berasal dari Sabah ini.
"Alhamdulillah, saya gembira kerana berkesempatan bertemu dengan Ramadan. Bagi saya, puasa bukan kerana untuk kurus atau mengurangkan berat badan. Tetapi, saya lihat ia lebih dari itu.
"Saya melihat pelbagai perkara yang kecil seperti menahan sabar selain menahan lapar dan dahaga serta bulan Ramadan juga menjadi waktu untuk kita refleksi diri.
"Ia juga menjadi masa yang baik untuk dekatkan diri dengan Allah dan untuk belajar agama kerana keberkatan bulan ini sangat istimewa berbanding bulan-bulan lain," kata Marsha.
Marsha ditemui di majlis iftar bersama penyanyi-penyanyi lagu tema drama bersiri Nur di Meet & Dine, Sungai Long, Cheras baru-baru ini.
Selain Marsha, majlis itu turut dimeriahkan dengan kehadiran Indah Ruhaila, Amylea Azizan dan Idayu.
Bercakap mengenai perkembangan kerjaya muziknya, Marsha bakal muncul dengan lagu terbaru duet bersama Velvet.
"Alhamdulillah, lagu Bimbang mendapat maklum balas positif. Saya rasa sangat bersyukur dan ini menjadi galakan untuk saya berkarya.
"Selepas ini, saya bakal muncul dengan lagu duet bersama Velvet yang berjudul Oi Gaman. Ini merupakan kolaborasi kedua saya bersama Velvet selepas lagu Sumandak Sabah yang dirakamkan tahun lalu," katanya mengakhiri bicara.