"Puasa Pun Ada Konsert Dangdut Waktu Petang" - Baby Shima Berpuasa Tahun Kedua Di Indonesia

Amri Hassan
Mei 18, 2018 06:47 MYT
Penyanyi Baby Shima mengakui teruja untuk menyambut kedatangan bulan Ramadan dan Syawal di perantauan buat tahun kedua.
Kata Shima, 25, sambutan Ramadan di Jakarta, Indonesia berbeza dengan Malaysia memandangkan dia biasanya diundang untuk membuat persembahan lagu dangdut walaupun siang hari.
"Biasanya jemputan untuk saya membuat persembahan di Indonesia akan datang saat-saat akhir. Selalunya sehari sebelum acara.
"Memandangkan kurangnya lagu raya, biasanya undangan persembahan memerlukan saya menyanyikan lagu dangdut walaupun siang hari. Indonesia pun terdiri daripada masyarakat majmuk," katanya kepada Astro Gempak.
Namun, Shima juga terpegun dengan sambutan penduduk di pedalaman Indonesia usai menunaikan solat sunat terawih pada bulan Ramadan.
"Penduduk kampung akan berarak dari rumah ke rumah sambil berselawat selepas menunaikan solat terawih berjemaah di masjid.
"Selain itu, kemeriahan akan diserikan dengan paluan kompang dan gendang beramai-ramai," kata Shima.
Sementara itu, sempena kedatangan Ramadan, Shima meraikan peminatnya dengan sebuah single ketuhanan berjudul Kangen Rosul.
Teks oleh: Amri Hassan
Foto: @babyshimaofficial
#Dangdut #Indonesia #Puasa #Baby Shima