Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!
Hiburan

Pukul Teman Wanita, Kecik Hyper Act Dikompaun RM200

Rozaimi Zubaidi 22/03/2017 | 09:23 MYT
Bekas vokalis kumpulan Hyper Act, Kecik, diperintahkan untuk membayar kompaun sebanyak RM200 oleh Mahkamah Majistret Selayang selepas mencederakan teman wanitanya, Farah Nurizzati Salleh.
Majistret Iriane Isabelo membuat keputusan itu, selepas kedua-dua pihak bersetuju kes diselesaikan secara bersama mengikut Seksyen 260 Kanun Acara Jenayah.
Terdahulu, Kecik atau nama sebenarnya Muhammad Fauzi Kamaruddin, 22, mengaku bersalah dengan sengaja mendatangkan kecederaan ke atas Farah, 24, di Batu 6 3/4, Kampung Changkat, Gombak, di sini, pada 7.13 malam, 12 Mac lalu.
Dia yang memakai topeng muka selepas prosiding selesai, didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum setahun atau denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya.
Sementara itu, semasa prosiding mangsa yang berbaju kurung berbunga merah bersetuju supaya kes itu diselesaikan dengan kompaun RM200 dan jumlah itu juga dipersetujui tertuduh.
Timbalan Pendakwa Raya Azhwa Yusrie Mohamad tidak membantah jumlah itu dan menyerahkan kepada budi bicara mahkamah.
Tertuduh membayar kompaun itu.
Sumber: Bernama
#Penyanyi #Penyanyi #Kecik Hyper Act #Kumpulan Hyper Act
;