Seorang peninju Muay Thai warganegara Thailand menemui ajalnya selepas mengalami pendarahan dalam otak apabila tewas di tangan peninju tempatan dalam Kejohanan Muay Thai Ambang Merdeka 2022 di padang sebuah kolej di Kampung Che Deris, Badang, Kota Bharu pada Sabtu.

Mangsa, Mr. Kittichai Chaengkhao, 28, meninggal dunia kira-kira pukul 10.57 pagi semalam di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) di sini selepas hampir 10 jam dirawat di unit kecemasan.

Pemangku Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, siasatan mendapati, semasa pertandingan berlangsung,, mangsa dijadualkan berlawan dengan seorang peninju Muay Thai tempatan yang berusia 29 tahun malam Jumaat.

“Mangsa bagaimanapun meninggal dunia di unit kecemasan HRPZ II kira-kira pukul 10.57 pagi akibat pendarahan dalam otak.

“Siasatan mendapati, mangsa yang sudah berkahwin dan mempunyai seorang anak. Mayat mangsa telah dibawa ke Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan Rantau Panjang sebelum diserahkan kepada waris pada pukul 8 malam semalam,” katanya.

Di platform TikTok, sebuah video merakamkan detik pertarungan tersebut tular.

Difahamkan semasa pertarungan berlangsung, mangsa dipercayai ditumbuk di bahagian kepala dan tidak sedarkan diri sebelum dia dibawa ke Klinik Kesihatan Badang kira-kira pukul 1 pagi.

@isqandar_w4n ?????#fyp #xyzbca #takfyptakkesahpun #fakebloodwarning ♬ Bila Waktu Tlah Berakhir - Opick

Di ruangan komen, aksi tersebut mengundang pelbagai reaksi yang bersimpati dengan nasib yang menimpa Kittichai.

Menurut Muhamad Zaki, berdasarkan siasatan mangsa memasuki negara ini secara sah dengan mempunyai dokumen perjalanan yang diperakui.

Katanya, polis telah mengambil keterangan daripada pihak penganjur berhubungan kes tersebut dan mendapati pihak terbabit mempunyai permit untuk menganjurkan kejohanan Muay Thai itu.

Tambah Muhamad Zaki, kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.


Sumber: Kosmo Online!