"Pulang Selepas Solat Aidiladha, Tiba-Tiba..." - Rumah Adik Acha Septriasa Dirompak
Asraf Aided
03/08/2020
|
11:06 MYT
Pelakon popular Indonesia, Acha Septriasa berkongsi berita dukacita tentang kejadian rompakan yang berlaku di rumah adiknya, Juwita pada Hari Raya Aidiladha baru-baru ini.
Perkara itu dikongsi Acha menerusi entri di akaun Instagram miliknya yang disertakan foto tulisan 'Kejahatan Di Tengah Pandemi Korona'.
Menurut Acha, Juwita bergegas pulang ke rumah selepas menyedari kamera litar tertutup (CCTV) yang dipasang secara dalam talian di rumahnya terpadam secara tiba-tiba.
"Saya ingin kongsikan sesuatu yang menurut saya penting untuk dikongsi kerana ia menentukan keselamatan kita sebagai warganegara, masyarakat, di tengah pandemi yang semakin merisaukan ini.
"Tepat 31 Julai, Jumaat, adik saya Juwita menunaikan solat Aidiladha dan pulang pada pukul 11 pagi kerana mendapati CCTV online mati secara tiba-tiba, mereka pulang (Juwita dan suaminya) , hidupkan CCTV kembali dan bergegas ke rumah mentua.
"Seharian mereka berkunjung ke rumah sanak saudara dan keluarga, pulang pukul 7 malam, rumah Juwita sudah terbuka pintu pagarnya dan kunci mangga telah terbuka, mereka tak berani masuk kerana risau perompak masih di situ, akhirnya suami Juwita menghubungi keluarga dan masuk ke dalam secara berhati-hati," tulisnya.
Walaubagaimanapun, teraju utama filem Heart dan Love is Cinta itu bersyukur kerana tiada pihak yang mengalami kecederaan.
"Kami bersyukur kerana nyawa kami tidak melayang, namun rasa sakit hati memikirkan insiden itu.
"Kami hanya mahu pihak polis menyiasat dan mencari dalang kepada kejadian ini," tulisnya lagi.
Dalam satu entri lain, Acha menyatakan tanda sokongannya terhadap pihak polis dan menyeru orang ramai untuk sentiasa berhati-hati.
"Saya memberi sokongan yang penuh kepada pihak polis, untuk secara tegas membanteras keresahan kita bersama.
"Keutamaan kita sekarang ini adalah rasa aman dalam kalangan masyarakat, marilah kita sama-sama berwaspada akan fenomena ini, di tengah pandemi, bukan hanya kesihatan kita yang terancam, tetapi ekonomi masyarakat juga terancam, jenayah juga semakin berleluasa, jangan biarkan ia berlaku," tulisnya.
Kedua perkongsian Acha itu mendapat respon positif dari para pengikutnya yang memberi kata-kata semangat.
Rata-rata mereka juga berharap agar pihak berkuasa dapat mengenal pasti individu yang terlibat dalam kejadian rompakan tersebut.