Semalam tular video kejadian angin kencang dan rebut dipercayai berlaku di beberapa kawasan di Georgetown, Pulau Pinang.

Kejadian yang berlaku kira-kira jam 5 petang itu menyebabkan beberapa struktur bumbung tercabut selain pokok tumbang dalam kejadian pada petang Selasa.

Exco Kebajikan, Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar, Phee Boon Poh berkata, laporan yang diterima daripada Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Pulau Pinang, terdapat beberapa laporan pokok tumbang di Jalan Zainal Abidin, laluan jip ke Bukit Bendera dan Jalan Tengku.

Menurutnya kepada Sinar Harian, dalam kejadian di Jalan Tengku, Jelutong sebatang pokok tumbang dan menghempap sebuah kereta namun tiada mangsa dilaporkan terlibat.

"Selain itu, bangunan medan makan berdekatan stadium mini Sungai Ara dan deretan kedai makan di Taman Abidin rosak selepas sebahagian struktur bumbung tercabut.

"Setakat ini, tiada kemalangan jiwa dilaporkan," katanya.