Gaya Hidup

Pulau Pinang Tersenarai 7 Lokasi Terbaik Dilawati Di Asia Tenggara

gempak
Gempak
07/01/2025
09:30 MYT
Sponsor Banner
Pulau Pinang Tersenarai 7 Lokasi Terbaik Dilawati Di Asia Tenggara
Pulau Pinang disenaraikan oleh Lonely Planet sebagai salah satu daripada tujuh lokasi terbaik untuk dilawati di Asia Tenggara.
Lonely Planet ialah sebuah penerbit buku panduan perjalanan yang ditubuhkan di Australia pada tahun 1973 yang mana, syarikat ini telah mencetak lebih daripada 150 juta naskah buku.
Exco Pelancongan dan Ekonomi Kreatif, Wong Hon Wai berkata, selain Pulau Pinang, Lonely Planet turut menyenaraikan Taman Negara Khao Sok di Thailand, Cao Bang di Vietnam, Siargao di Filipina, Luang Prabang di Laos, Amed di Bali dan Gili Air di Indonesia.
Menurutnya, senarai tersebut diterbitkan sehari selepas tahun baharu dengan pengiktirafan Pulau Pinang dibuat kerana ia kaya dengan sejarah dan budaya.
"Dalam penerangannya mengenai Pulau Pinang, Lonely Planet menyatakan Pulau Pinang yang terletak di Malaysia adalah destinasi yang meriah daripada budaya Melayu, Cina, dan India. Ia dapat dilihat pada makanan, seni bina dan tradisinya.
"Ibu kota pulau tropika iaitu George Town, berjaya mengubah warisannya menjadi sesuatu yang mampu menarik pelancong sambil mengekalkan keasliannya.
"Dalam satu bandar yang kecil, pelancong boleh melawat rumah klan Cina, masjid, kuil Hindu dan bangunan kolonial British," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Dalam pada itu, Hon Wai berkata, Pulau Pinang sememangnya diiktiraf di peringkat antarabangsa atas pencapaian cemerlangnya dalam pelancongan perubatan.
Menurutnya, sebagai destinasi pelancongan perubatan yang paling lama bertapak di Malaysia, prestasi Pulau Pinang sangat menonjol dan membanggakan.
"Menurut statistik Majlis Pelancongan Kesihatan Malaysia, dalam enam bulan pertama tahun 2024, jumlah pendapatan industri pelancongan perubatan negara mencapai RM1.15 bilion, dengan Pulau Pinang menerajui pasaran dengan pegangan sebanyak 45 peratus.
"Pada tahun 2023, hospital-hospital di bawah Penang Medical Tourism Centre telah menerima 406,469 pelancong perubatan antarabangsa, menghasilkan pendapatan yang mengagumkan iaitu sebanyak RM831.94 juta," katanya.
Jelasnya, jumlah itu menunjukkan peningkatan yang memberangsangkan kerana jika dibandingkan dengan tahun 2022 iaitu hanya 194,327 pelancong perubatan antarabangsa direkodkan dengan pendapatan sebanyak RM378.4 juta.
"Angka ini menunjukkan peningkatan luar biasa sebanyak 109.2 peratus dan 119.9 peratus. Rekod-rekod ini jelas mengukuhkan kekuatan Pulau Pinang dalam sektor pelancongan perubatan global.
"Kelebihan Pulau Pinang dalam pelancongan perubatan sangat jelas dan luar biasa. Bagaimanapun, ruang untuk penambahbaikan sentiasa ada.
"Baru-baru ini, dengan kerjasama strategik bersama UnionPay International, perkhidmatan dalam sektor pelancongan perubatan di Pulau Pinang dijangka akan terus dipertingkatkan," katanya.
Topic Berkaitan
Must-Watch Video
Gempak Most Wanted Awards 2024