Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!

"Punca Kematian Nidza Afham Masih Diklasifikasi Mati Mengejut," - Polis

Gempak
21/08/2024 09:33 MYT
Siasatan kes kematian Muhammad Nidza Afham Mokhtar, 23, masih diklasifikasi sebagai mati mengejut (SDR).


Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, hasil siasatan terkini oleh JSJ adalah konsisten dengan laporan bedah siasat yang dijalankan oleh Hospital Shah Alam.


"Kes kematiannya adalah kekal sama seperti yang diumumkan oleh Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan, sebelum ini yang mengklasifikasikan kes sebagai kematian mengejut (SDR).


"JSJ bagaimanapun pada masa ini masih lagi meneruskan siasatan termasuk meneliti dan melawat semula lokasi kejadian sekiranya terdapat sebarang elemen wujudnya unsur jenayah," katanya selepas menghadiri Kursus Behavioral Science, di Maktab Polis Diraja Malaysia,Kuala Lumpur , pada Rabu.

Mohd Shuhaily berkata, kehadiran pegawai penyiasat ke lokasi juga adalah untuk meneliti sekiranya ada sebarang rakaman kamera litar tertutup (CCTV) atau saksi yang boleh membantu siasatan.

"Sekiranya ada petunjuk, kita akan mengumpul segala bukti yang ada serta mengklasifilasi semula kes berkenaan," katanya.

Pada Jumaat lalu, Hussien menafikan kehilangan barang milik Afham, seperti yang tular dalam media sosial minggu lalu.


Dalam kejadian itu Nidza Afham, dipercayai keluar berjoging di Stadium Sultan Suleiman, Klang seorang diri sebelum kehilangan disedari pada jam 9 malam 13 Ogos, sebelum mayatnya ditemui di Sungai Klang, pada 14 Ogos lalu.

Sumber: Sinar Harian

#Polis #Nidza Afham #Mati mengejut
;