BERITA

Pura-Pura Bisu 16 Tahun Untuk Dapat Duit Pencen OKU

Gempak 19/04/2025 | 18:55 MYT

Seorang wanita di Sepanyol yang mendakwa bisu akibat serangan di tempat kerja 16 tahun lalu, akhirnya terbongkar menipu selepas disiasat oleh detektif persendirian yang diupah syarikat insurans.

Insiden bermula pada 2003 apabila wanita tersebut yang bekerja di sebuah pasar raya di wilayah ini, diserang seorang pelanggan.

Akibat kejadian itu, dia disahkan mengalami gangguan tekanan pasca trauma (PTSD) dan disahkan sebagai orang hilang upaya (OKU) untuk bercakap.

Pihak Keselamatan Sosial Sepanyol kemudiannya meluluskan permohonan pencen hilang upaya kekal kepada wanita itu.

Memandangkan insiden tersebut dikategorikan sebagai kemalangan kerja, sebuah syarikat insurans diarahkan menanggung pembayaran pencen berkenaan.

Beberapa tahun kemudian, semasa proses semakan semula yang dilakukan secara berkala, syarikat insurans tersebut mengesan beberapa keraguan dalam laporan perubatan wanita itu.

Ia kemudian membawa kepada siasatan lanjut termasuk mengupah detektif persendirian.

Pada 2019, selepas 16 tahun menerima pencen, syarikat insurans itu mendapati tiada sebarang nota perubatan daripada pakar sejak 2009 iaitu termasuk pakar mata, ortopedik dan dermatologi yang menyatakan wanita tersebut tidak boleh bercakap.

Perkara itu dianggap mencurigakan dan pasukan doktor diarahkan menilai semula keadaannya.

Seorang pakar psikiatri melaporkan kemungkinan berlaku penipuan, namun bukti itu tidak cukup untuk membawa kes ke mahkamah. Maka detektif persendirian ditugaskan mengekori wanita berkenaan.

Hasil pemantauan mendapati wanita itu boleh bercakap seperti biasa di tempat awam, berbual dengan ibu-ibu lain di sekolah, menggunakan telefon bimbit tanpa masalah dan menghadiri kelas zumba.

Untuk mendapatkan bukti kukuh, detektif terbabit bertindak menyamar sebagai orang awam dan meminta arah jalan ke sebuah pusat beli-belah.

Tanpa menyedari dirinya dirakam, wanita itu memberikan arahan secara fasih dan jelas dalam bahasa Sepanyol.

Berdasarkan bukti rakaman itu, syarikat insurans mengambil tindakan undang-undang dan Mahkamah Tinggi Keadilan Andalusia (TSJA) pada Januari lalu memutuskan bahawa syarikat tidak lagi bertanggungjawab membayar pencen kepada wanita berkenaan.

Rayuan wanita itu untuk menolak rakaman detektif atas alasan melanggar hak Perlembagaan turut ditolak oleh mahkamah.

“Simulasi pseudomutisme telah dibuktikan, atau sekurang-kurangnya berlaku perkembangan sangat positif terhadap simptom tersebut kerana gejala yang dihidapi telah hilang,” menurut keputusan mahkamah.

Selepas keputusan tersebut, satu kes baharu dibuka terhadap wanita berkenaan bagi menentukan jumlah denda yang perlu dibayar atas penerimaan pencen secara tidak sah selama 16 tahun.

Syarikat insurans juga dijangka memfailkan saman untuk menuntut semula bayaran tersebut.

Sumber: Sinar Harian

#OKU #Remaja #Duit Pencen