Pusara Ditabur Kelopak Mawar, Bunga Citra Lestari Kenang Tarikh Ulang Tahun Perkahwinan Bersama Ashraf

Asraf Aided
November 9, 2020 00:28 MYT
Penyanyi popular Indonesia, Bunga Citra Lestari mengenang tarikh ulang tahun perkahwinan bersama arwah suaminya, Ashraf Sinclair semalam.
Jika Ashraf masih ada, pasangan romantis ini sepatutnya merayakan ulang tahun ke 11 mereka pada tanggal 8 November.
Menerusi Instagram, Bunga yang sudah jarang memuat naik aktiviti atau foto terkininya sejak pemergian Ashraf berkongsi beberapa foto dan video momen manis yang pernah dirakam bersama suaminya.
Ia kemudian diikuti sekeping foto dirinya mengunjungi pusara Ashraf yang meninggal dunia pada Februari lalu.
"Selamat ulang tahun," tulisnya ringkas sebagai kapsyen di sebuah entri yang memaparkan dirinya menziarahi pusara Ashraf dan memenuhinya dengan kelopak mawar.
Meninjau ruangan komen, rata-rata pengikut berasa sayu melihat foto tersebut, mereka juga mengucapkan selamat ulang tahun dan menyedekahkan Al-Fatihah kepada Allahyarham.
Terdahulu, Bunga dan Ashraf mendirikan rumah tangga pada 8 November 2008 di Jakarta, Indonesia.
Ashraf dilaporkan meninggal dunia secara mengejut akibat serangan jantung pada 18 Februari 2020.
#Bunga Citra Lestari #Ashraf Sinclair #Ulang tahun