Jom Sertai Keluang Man Fun Run yang akan berlangsung pada 18 Mei 2025 dan berlari bersama Borhan! 
BERITA

Pusat Hiburan Saji Gelek Berahi Ala Bollywood Diserbu!

Gempak 17/05/2025 | 08:37 MYT
Sebuah premis di tingkat dua yang menyajikan tarian berahi ala Bollywood oleh wanita warga asing di Jalan Dang Wangi, Kuala Lumpur, diserbu pada Sabtu.
Difahamkan, premis yang dikunjungi golongan lelaki warga asing itu menawarkan replika mata wang dolar yang akan ditukar dengan Ringgit Malaysia sebagai bayaran tip.
Wanita yang dipercayai warga Bangladesh, Nepal serta Pakistan dengan mengenakan pakaian sari itu dipercayai akan menari ghairah di atas pentas.
Bagaimanapun, keasyikan pelanggan premis hiburan itu melihat aksi menggoda wanita warga asing terbabit berakhir apabila premis itu diserbu Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Kuala Lumpur menerusi Op Gegar bermula kira-kira jam 12.45 tengah malam.
Tinjauan media di lokasi mendapati sebuah peti berkunci dengan lapan lubang tertera nama wanita terbabit dijadikan sebagai tempat meletakkan duit tip.
Premis itu juga dikawal ketat oleh 'bonzer' yang berada di bawah premis bagi memantau kehadiran individu ke dalam premis.
Pengarah Imigresen Kuala Lumpur, Wan Mohammed Saupee Wan Yusoff berkata, Op Gegar bertindak menahan lapan lelaki dan dua wanita yang kesemuanya warganegara Nepal, Bangladesh dan Pakistan berusia lingkungan 20 hingga 40-an.
Menurutnya, siasatan dan risikan mendapati mereka yang ditahan itu berperanan sebagai pelanggan, pekerja dan penjaga premis.
“Pusat hiburan ini dibuka eksklusif untuk pelanggan dari negara Asia Selatan untuk berhibur dengan menyaksikan penari-penari membuat persembahan tarian ala Bollywood.
“Pasukan serbuan juga menemui sebuah kotak tertera nama penari, yang digunakan oleh pelanggan untuk memasukkan wang mereka bagi diberikan kepada penari yang mereka gemari,” katanya kepada pemberita selepas operasi berkenaan.
Dalam serbuan berasingan, JIM Kuala Lumpur turut melaksanakan Op Selera dengan penahanan 25 warga asing membabitkan 18 lelaki, tujuh wanita serta dua kanak-kanak lelaki berusia lima hingga 60 tahun di tiga restoran di sekitar pusat bandar.
Tambahnya, tangkapan membabitkan warga India, Pakistan, Bangladesh, Thailand dan Indonesia. Antara kesalahan yang dikesan dilakukan ialah tidak mempunyai permit, permit tamat tempoh dan tidak mematuhi syarat permit untuk tinggal di negara ini.
Beliau berkata, semua yang ditahan dibawa ke Depot Imigresen Bukit Jalil untuk disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) dan Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.
Sumber: Sinar Harian
#Bollywood #Kuala Lumpur #Serbu #Gelek #Pusat Hiburan #Berahi