Jom Sertai Keluang Man Fun Run yang akan berlangsung pada 18 Mei 2025 dan berlari bersama Borhan! 
COVID-19

Pusat Karaoke Dah Boleh Beroperasi Bermula 15 Julai Ini, Tapi Disko Belum Lagi!

Fiza Kamarudin 10/07/2020 | 11:44 MYT

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, mengumumkan pusat hiburan keluarga akan dibuka semula bermula 15 Julai ini.

Kelulusan ini membabitkan arked permainan atau taman funfair dalam bangunan, hiburan pendidikan (edutainment), gim permainan kanak-kanak, hiburan permainan berasaskan peralatan mesin dan hiburan teknologi serta pusat karaoke keluarga.
Bagaimanapun kelab malam dan disko masih tidak dibenarkan beroperasi.
Ismail Sabri berkata, perkara itu diputuskan Mesyuarat Khas Menteri-Menteri mengenai Pelaksanaan PKP selepas meneliti pembentangan oleh Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya.
“Keputusan itu dibuat selepas mengambil kira lebih 3,000 yang terkesan dan sumbangan sejumlah RM500 juta daripada sektor itu kepada pendapatan negara.
"Mesyuarat Khas Menteri-Menteri mengenai Pelaksanaan PKP mendengar cadangan daripada Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Nancy Shukri.
“Selain pusat hiburan keluarga yang disebut tadi, kita juga benarkan karaoke di majlis perkahwinan. Majlis perkahwinan tidak berapa meriah apabila rewang tidak ada karaoke, jadi kita benarkan," katanya pada sidang media Mesyuarat Khas Menteri-Menteri mengenai Pelaksanaan PKP pada petang Jumaat.
Tambah beliau lagi, antara prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan termasuk mereka yang terbabit perlu memuat turun aplikasi MySejahtera bagi proses pendaftaran, mengadakan saringan suhu badan, mengehadkan jumlah pengunjung berdasarkan saiz premis dan penjarakan sosial.

“Pengusaha pusat hiburan keluarga juga digalakkan untuk membuat penjualan tiket dalam talian, selain melakukan pembersihan serta disinfeksi secara berkala,” ujarnya.

Selain itu kerajaan turut memutuskan untuk membenarkan:

Namun, penganjuran acara antarabangsa melibatkan peserta dari luar negara tidak dibenarkan lagi buat masa ini.

Terdahulu pawagam ‘drive in turut dibenarkan tertakluk kepada SOP termasuk pengunjung mesti berada di dalam kenderaan masing-masing.

#Karaoke #Ismail Sabri #PKPP