Chef terkenal, Datuk Redzuawan Ismail atau lebih mesra dipanggil Chef Wan, membuat laporan polis terhadap sebuah portal berita, selepas didakwa memutarbelitkan kenyataannya di media sosial, baru-baru ini.

Menerusi entri di Instagram (IG), Chef Wan berkongsi sekeping gambar dia bersama laporan yang dibuat di Balai Polis Taman Tun Dr Ismail, semalam.

"Baru selesai membuat laporan polis berhubung penerbitan artikel yang memetik kenyataan saya dengan salah dan menjejaskan reputasi saya dalam artikel yang diterbitkan di Malaysia.

"Sekarang, perkara ini berada di tangan undang-undang. Semoga keadilan dapat ditegakkan," katanya.

Just made my police report with regard to the article which falsely quoted me and compromised my reputation in their article written in the Malaysia - Chronicle . Its in the hands of the Law now Let justice prevail !

A post shared by chef wan (@chefwan58) on

Menurut Chef Wan, artikel yang diterbitkan oleh portal berita tersebut adalah satu perbuatan yang tidak bertanggungjawab.

Artikel itu diterbitkan portal berkenaan pada Selasa lalu, susulan satu posting yang dimuat naik Chef Wan pada sambutan Hari Natal, 25 Disember lalu.

Dalam posting itu, Chef Wan memuat naik gambar baju tertera tulisan 'All I want for Christmas is a new Prime Minister' di akaun IGnya sambil menyifatkan ia sebagai sesuatu yang melucukan.

Menerusi entri tersebut, Chef Wan berkata, dia pernah didatangi pemimpin UMNO dan pembangkang yang mempelawanya bagi membantu mereka berkempen semasa Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

"Siapa la saya ini hanya tukang masak bukan artis pun. Jika nak bertanding jadi Perdana Menteri tak apa la. Ini setakat nak pergunakan saya masa pilihan raya tak payah la," ujarnya.