Berita pemergian Putera Philip, Duke of Edinburgh pada usia 99 tahun semalam membuat seluruh dunia ikut berduka.

Sejak berita kematian suami Ratu Elizabeth II ini diumumkan, ucapan belasungkawa terus mengalir dari semua lapisan masyarakat.

Antaranya adalah Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah serta Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah merakamkan takziah atas pemergian Putera Philip.

Menerusi kenyataan yang dimuat naik dalam bahasa Inggeris di akaun rasmi Istana Negara, baginda berdua yang turut bersedih dan berkabung mengenang kerjasama yang pernah dijalin antara United Kingdom dan Malaysia.

"Mendiang akan dikenang oleh baginda berdua, kerajaan dan rakyat Malaysia atas sokongan berterusan kepada Ratu Elizabeth II, sokongan berterusan kepada Komanwel, yang mana Malaysia berbangga sebagai anggotanya selain usaha mendiang dalam mengukuhkan hubungan United Kingdom dan Malaysia," menurut kenyataan itu.



Selain itu ucapan belasungkawa juga datang dari Harry dan Meghan Markle. Pasangan itu juga dijangka akan menghadiri upacara pengebumian sebagai penghormatan terakhir kepada Philip.

"Dalam Kenangan Penuh Kasih dari Yang Mulia Duke of Edinburgh, 1921-2021. Kami akan merinduimu," tulis belasungkawa di laman sosial organisasi mereka, archewell.com tersebut awal pagi tadi.

Organisasi gergasi Netflix yang pernah menerbitkan siri The Crown pada tahun 2016 turut dilihat melahirkan rasa duka cita di atas pemergian Philip.

"Netflix, Left Bank Pictures, Sony Pictures Television, dan seluruh produksi The Crown sangat sedih mendengar kematian Duke of Edinburgh. Kami bersamamu," kata Netflix dalam kenyataan yang dikeluarkan.

Siri The Crown diterbitkan dengan mengisahkan perjalanan sosok Elizabeth sejak dipinang Philip sehingga menjadi Ratu dan memimpin negara.

Pada Mac lalu, Philip sempat menerima rawatan kerana jangkitan dan menjalani pembedahan jantung.

Philip dilaporkan meninggal dunia di Istana Windsor pada Jumaat (9/4/2021) dan punca kematiannya tiada kene mengena dengan COVID 19.



Kredit Foto: The Sun, Insider