BERITA

Putera William Berdepan Detik Sukar Selepas Kate Middleton Disahkan Hidap Kanser

Gempak 24/02/2025 | 08:34 MYT

Pewaris takhta Britain, Putera William berhadapan dengan detik paling sukar dalam hidupnya selepas isterinya, Puteri Wales, Kate Middleton, disahkan menghidap kanser, kata bekas pembantu diraja, Jason Knauf.

Knauf, yang pernah berkhidmat sebagai Ketua Eksekutif Yayasan Diraja William dan Kate, mendedahkan bahawa putera itu mengalami tekanan hebat selepas menerima berita tersebut, terutama apabila bapanya, Raja Charles III turut menghidap kanser dalam tempoh yang sama.

"Ia adalah saat paling sukar yang pernah saya lihat bagi seorang Baginda (William). Dalam masa beberapa minggu, baginda menerima berita bahawa isteri dan bapanya menghidap kanser. Malah saya sendiri tidak dapat menghadapinya," katanya dalam temu bual bersama 60 Minutes Australia baru-baru ini.

Tahun lalu, Kate diumumkan menghidap kanser namun kini berada dalam fasa pemulihan manakala Raja Charles masih menjalani rawatan.

Menurut Knauf, selepas berita mengenai kesihatan Kate tersebar pada Mac tahun lalu, pelbagai teori konspirasi timbul dalam media sosial, termasuk dakwaan bahawa puteri itu tidak benar-benar sakit.

"Mereka masih belum bersedia untuk mengumumkannya kerana anak-anak belum dimaklumkan. Namun, pelbagai spekulasi mula muncul secara dalam talian," katanya.

Dalam satu kenyataan kepada media tahun lalu, William, 42, mengakui bahawa tahun tersebut adalah paling mencabar dalam hidupnya.

"Ia sangat sukar. Mungkin tahun paling mencabar sepanjang hidup saya. Cuba menguruskan semuanya dan memastikan keadaan terkawal bukan sesuatu yang mudah," katanya selepas lawatannya ke Afrika Selatan.

Selain itu, Knauf yang pernah berkhidmat untuk Duke dan Duchess of Sussex, turut menyentuh hubungan William dan adiknya, Harry.

"Ia bukan sesuatu yang mudah, lebih-lebih lagi apabila berlaku secara terbuka. Tetapi William memilih untuk tidak memberi komen mengenai hal ini, dan kami yang mengenalinya harus menghormati keputusannya," katanya.

Atas jasanya kepada keluarga diraja, Knauf telah dianugerahkan Lieutenant of the Royal Victorian Order (RVO) pada tahun 2023.

Sumber: Sinar Harian

#Kate Middleton #Kanser #Putera William