Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!

Putri Ariani Mahu Simon Cowell Urus Karier, Impi Menang Grammy

Maliah Surip
15/06/2023 04:55 MYT
Kisah gadis cacat penglihatan, Putri Ariani mendapat golden buzzer daripada juri American’s Got Talent (AGT), Simon Cowell baru-baru ini masih mendapat perhatian dunia.

Terkini Putri, 17, ditemubual oleh DailyMail.com dan memberitahu dia mempunyai beberapa impian yang mahu dilunaskan selepas ‘satu dunia’ kini mengenali bakat besar yang dimilikinya.

Kata Putri, setelah mendapat golden buzzer dan dipuji Cowell sebagai salah seorang penyanyi terbaik yang pernah mengikuti ujibakat AGT, dia mahu meastro seni itu menguruskan kariernya selepas ini.

“Cowell adalah nama yang cukup berpengaruh dalam dunia muzik. Dia penerbit yang hebat dan selalu tahu bagaimana menguruskan seseorang menjadi bintang.

“Saya mahu menjadi seperti itu (bintang) satu hari nanti. Dan tentulah dengan bantuan Cowell impian saya ini boleh menjadi kenyataan,” katanya.



Tidak berhenti di situ, Putri yang merupakan anak kelahiran Jogjakarta, Indonesia tersebut juga mahu memenangi anugerah berprestij muzik, Grammy Awards.

“Mimpi saya mahu menjadi seperti diva seperti Whitney Houston dan menang Grammy,” katanya lagi.

Putri menjelaskan penyertaan dalam AGT telah menjadi jalan buatnya menggapai mimpi tersebut.

“Saya menonton AGT selama ini dan mahu menyertainya. Itu mimpi saya kerana AGT adalah pintu untuk saya pergi ke peringat yang lebih tinggi dan besar,” kata gadis yang juga memiliki bakat bermain piano, gitar serta menghasilkan lagu.

#Viral #Grammy #Simon Cowell #AGT #Putri Ariani
;