HIBURAN

Qasrina Karim Ambil Iktibar Lepas Video Nampak Leher & Rambut Tular - “Pada Saya Normal Longgar Tudung Untuk…”

Ainun Md Zooki 11/07/2025 | 20:55 MYT
Pelakon, Qasrina Karim mengakui kekhilafannya apabila tidak menutup aurat di bahagian leher dalam sebuah video yang dimuat naik di TikTok milik Meerqeen.

Jelas Qasrina, 29, video tersebut dirakam ketika dia sedang bersiap untuk penggambaran drama.

Namun, dia mengakui bukan alasan untuk tidak menyedari leher dan sebahagian rambutnya terdedah dalam video tersebut.

"Ketika itu (video dirakam) saya sedang bersiap, sedang 'makeup'. Pada saya normal melonggarkan sedikit tudung sebab nak memudahkan proses 'makeup'.

"Namun, saya percaya itu bukan alasan untuk tidak perasan terdedahnya sedikit aurat saya,” katanya kepada Gempak.


Qasrina berkata demikian ketika menghadiri Majlis Sidang Media Drama ‘Thariq Riduzwan: His Treasure’ dan Mandul Bukan Pilihan’ yang berlangsung di TGV Cinemas, Suria KLCC pada Khamis.

Selepas insiden itu berlaku, aktress tersebut mengambil iktibar apa yang terjadi dan lebih berhati-hati pada masa akan datang.

"Saya akan lebih berhati-hati pada masa akan datang, terima kasih yang ambil berat dan titip nasihat,” kongsinya.

Dalam pada itu, Qasrina turut berkongsi dia tidak menghadapi sebarang kesukaran untuk mewujudkan keserasian ketika bergandingan dengan Meerqeen.

"Saya bersyukur keserasian antara kami tidak susah untuk dibentuk dalam drama ini. Di luar set penggambaran pun kami berkawan, jadi tidak susah untuk bergandingan apabila di set.

"Meerqeen seorang yang mudah didedakati, bukan hanya dengan saya tetapi dengan semua krew di set," jelasnya.


Terdahulu, peminat meluahkan rasa kecewa dengan tindakan Qasrina yang tidak menutup aurat sepenuhnya dalam sebuah video di TikTok Meerqeen.

Dalam hantaran itu, aktres berkenaan hanya mengenakan selendang berona hitam namun terdedah sedikit bahagian leher dan rambutnya.

#Aurat #Rambut #Video #Leher #Qarina Karim