FILEM
“Qodrat 2 Ajar Saya Cara Solat Yang Sebenar” - Acha Septriasa
Lakonan Acha Septriasa sebagai Azizah dalam filem Qodrat 2 bukan sahaja memberi cabaran dari sudut emosi dan fizikal, malah sebuah pembelajaran yang lebih mendalam buat dirinya.
Menurut Acha, penglibatannya dalam filem arahan Charles Gozali itu telah memberinya pemahaman yang lebih jelas tentang maksud dan kepentingan solat, khususnya melalui babak solat taubat.
“Babak solat taubat itu menjadi silver lining untuk karakter Azizah memang membawa saya lebih faham. Sebelum ini mungkin di dalam solat saya kurang faham dari segi bacaan.
“Namun dari proses pembelajaran karakter ini, boleh jadi filem ini mengajar saya cara solat yang sebenar.
“Inilah perjalanan seorang Azizah yang membawa saya bertanya panjang dari mula sampai akhir,” katanya kepada Gempak.
Filem Qodrat 2 bukan sekadar filem seram biasa, tetapi menyentuh elemen spiritual yang sangat dekat dengan masyarakat kita.
Untuk info, filem Qodrat 2 terbitan MAGMA Entertainment dan Astro Shaw ini masih mengikuti perjalanan Ustaz Qodrat (Vino G. Bastian) selepas menyelamatkan Alif daripada cengkaman Asuala.
Kali ini, tumpuan beralih kepada usahanya mencari isterinya, Azizah (Acha Septriasa) yang mengalami kemurungan selepas hilang akidah.
Berbeza dengan Qodrat (2022) yang masih penuh misteri, filem kedua ini menyajikan kisah yang lebih mendalam dan perlahan-lahan menyingkap latar belakang keluarga Qodrat.
Dengan visi sedemikian, pengarah, Charles bijak memutuskan untuk mengubah sudut pandangan bercerita. Tumpuan kini beralih kepada Azizah, isterinya.
Saksikan Qodrat 2 yang kini ditayangkan di pawagam seluruh negara.