Demi melonjakkan kegemilangan irama nasyid, MAC Training Centre Sdn Bhd telah mengambil inisiatif untuk menganjurkan KONSERT 5 RUKUN yang bakal diadakan di ZEPP, KUALA LUMPUR pada 15 September, bermula 8.30 malam.

Bakal berlangsung selama dua jam, konsert ini juga turut mengangkat lima penasyid popular iaitu Rabbani, Hijjaz, Inteam, Mestica dan Daqmie.

Kesinambungan album Sahabat Selamanya

Ia juga satu kesinambungan daripada penerbitan album SAHABAT SELAMANYA yang pernah dijayakan kelima-lima mereka sebelum ini pada hujung 2022.

Teras persahabatan kukuh yang sekian lama terjalin di antara kelima-lima Geng Sahabat Selamanya ini akan diterjemahkan di dalam KONSERT 5 RUKUN dengan berpaksikan konsep Lima Rukun Islam yang menjadi teras dalam perjuangan.

Dakwah kecil

Pengarah Urusan MAC Training Centre Sdn Bhd merangkap penerbit KONSERT 5 RUKUN, Samirah Hambali berkata, penganjuran konsert ini adalah usaha kecil daripada pihaknya untuk berdakwah dengan berlandaskan kesederhanaan dan hikmah dalam menyampaikan mesej Islam dalam bentuk hiburan yang lebih bijaksana.

"Alhamdulillah, usaha kita untuk menganjurkan konsert ini mendapat kepercayaan sepenuhnya daripada Daqmie untuk membawa lima geng Sahabat Selamanya iaitu Rabbani, Hijjaz, Inteam, Mestica serta Daqmie sendiri ke pentas konsert.

"Dengan berteraskan konsep Lima Rukun Islam melalui teras persahabatan geng Sahabat Selamanya ini, kami percaya ia akan memberikan kesan dan pengalaman konsert yang unik dan menarik dalam hiburan dakwah, apatah lagi setiap mereka ini memiliki kelompok peminat tersendiri.

"Sebagai satu cara untuk menjadikan Malaysia sebagai hub lagu-lagu nasyid dan Islamik, kita juga telah mewujudkan Kumpulan Komuniti Nasyid Warriors iaitu sebuah platform yang dikhususkan untuk mengumpul dan menghimpunkan individu yang berminat dengan nasyid atau genre muzik vokal Islam,” katanya.

Sementara itu, Daqmie yang juga Eksekutif Produser Daqmie Music Factory berkata, dia bersyukur apabila hasrat untuk membawa Sahabat Selamanya ke pentas konsert ini disambut baik.

"Selepas menghasilkan album Sahabat Selamanya yang mengumpulkan lima artis yang diterajui Daqmie Music Factory termasuk diri saya sendiri melalui Dana Kandungan Digital (DKD) Industri Muzik, saya terfikir apa lagi yang harus dilakukan selepas itu.

"Akhirnya melalui perbincangan bersama Puan Samirah Hambali, Sahabat Selamanya ini dapat dibawa ke pentas melalui konsep Lima Rukun dan siapa tahu ia boleh dibawa ke negara luar pula khususnya di Singapura atau Brunei,” katanya.

KONSERT 5 RUKUN mengandungi lima segmen yang akan dijayakan setiap lima Geng Sahabat Selamanya ini dengan pemilihan lagu-lagu hebat masing-masing secara solo, duet serta nyanyian beramai dan Qasidah.

Selain itu, KONSERT 5 RUKUN akan diiringi Orkestra Tradisional Malaysia (OTM) dari Istana Budaya.

Dengan menerapkan gabungan irama nasyid dengan irama tradisional serta elemen budaya Malaysia, KONSERT 5 RUKUN ini bakal menyaksikan pertembungan unik muzik Islamik dan muzik tradisi Melayu yang selama ini menjadi cerminan jati diri kita dalam melalui kehidupan seharian.

Tiket sudah pun dijual pada harga RM265.00 (Platinum), RM213.00 (Gold), RM161.00 (Silver) serta RM109.00 (Bronze). Tiket boleh dibeli di www.ticket2u.com.my.