Radio Gegar, jenama radio nombor satu Pantai Timur di bawah naungan Astro Radio, meraih anugerah Best In Consumer Satisfaction di majlis MCMC Star Rating Awards 2021, pada 21 Disember 2022 bagi kategori radio.

Anugerah tersebut disampaikan oleh Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil; Ketua Setiausaha, Kementerian Komunikasi dan Digital, Datuk Seri Mohammad Mentek; serta Ketua Pegawai Operasi, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia, Datuk Mohd Ali Hanafiah Mohd Yunus, kepada Raja Nadia Salwana Raja Hisham iaitu Pengurus Kandungan Gegar.

Anugerah tersebut merupakan pengiktirafan terhadap kepuasan pengguna untuk perkhidmatan terbaik yang ditawarkan oleh Gegar kepada rakyat Malaysia.

Raja Nadia Salwana Raja Hisham berkata: “Kami berterima kasih kepada semua rakyat Malaysia atas sokongan mereka dan berharap untuk terus menjadi perintis dalam menawarkan perkhidmatan terbaik bagi industri penyiaran radio tempatan, lantas dapat memberi kepuasan kepada semua lapisan masyarakat di Malaysia.

“Kami berharap semua dapat terus menikmati kandungan terbaik yang diberikan oleh GEGAR, serta menantikan tawaran yang lebih menarik pada masa akan datang,” katanya.

MCMC Star Rating Awards mula diperkenalkan pada 2016, dengan mengiktiraf perkhidmatan cemerlang yang disediakan oleh syarikat telekomunikasi kepada pengguna serta menyemai budaya kecemerlangan kualiti dan mewujudkan persekitaran persaingan yang sihat antara penyedia perkhidmatan.

Pemilihan pemenang adalah berdasarkan peranan penting yang diketengahkan oleh pemain-pemain industri dalam menyediakan perkhidmatan cemerlang menerusi tiga sektor utama iaitu industri telekomunikasi, penyiaran dan industri kurier.

Undi bintang digital dan content kegemaran Top 5 anda di Gempak Most Wanted Awards 2022 di sini.