Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!

Raffi Ahmad & Isteri Sedekah Satu Lori Air Mineral Kepada Jiran, Mahu Jiran Minum Air Bersih Seperti Mereka

Izwan Isa
23/03/2022 14:50 MYT
Memang sesuai dengan gelaran ‘selebriti sultan’, Raffi Ahmad sekali lagi menyorot perhatian umum apabila memberi sedekah satu lori air mineral kepada jiran tetangganya.

Raffi berkata, dia berbuat demikian kerana mahu memastikan jiran-jiran yang tinggal berdekatan juga dapat menikmati air yang bersih, sama seperti dirinya dan keluarga.

"Walaupun sebahagian orang berpendapat sekarang ini sudah 'endemik', tetapi kalau yang namanya kebersihan dan kesihatan itu harus tetap dijaga," tutur Raffi menerusi video terbaharu yang dimuat naik di saluran Youtubenya.

Pada awalnya, Raffi terlihat isterinya, Nagita telah kehabisan stok air mineral di rumah. Kemudian, Raffi sebagai suami yang sentiasa bersiap-sedia terus memesan air mineral dalam saiz botol besar.

Menariknya, dia tidak memesan satu atau dua botol, tetapi yang datang di rumah adalah satu lori air mineral!

Tentu sahaja tindakan yang dilakukan suaminya itu membuat Nagita terkejut. Nagita berkata: “Sayang… Untuk rumah sepuluh botol sudah cukup,” katanya.

Disebabkan jumlah botol yang banyak, Nagita pun meminta Raffi untuk membahagikan botol-botol air mineral berlebihan itu kepada jiran tetangga.

"Kalau begitu beri sahaja kepada jiran-jiran. Saya mahu semua tetangga juga turut sihat," ungkap Nagita ke Raffi.

Raffi dan Nagita memang cukup dikenali sebagai pasangan yang gemar menikmati air mineral. Apatah lagi Nagita juga sedang dalam proses menyusukan anaknya, Rayyanza. Terbukti, dengan adanya berita viral beberapa minggu lalu tentang susu badannya yang begitu banyak.

“Saya juga hairan kenapa hal tersebut menjadi bahan bualan ramai. Saya cuma memberi tips buat para ibu yang menyusu untuk rajin-rajin minum air mineral, seperti saya," ujar Nagita.
;